SEORANG lelaki didakwa merancang pembunuhan adik perempuan sendiri kerana tidak merestui hubungan gadis itu dengan lelaki dari komuniti lain.
Mangsa berusia 19 tahun dilaporkan dirogol dan dicekik hingga mati oleh seorang lelaki berusia 30 tahun, iaitu rakan kepada abang mangsa, yang bertindak atas arahan abang tersebut.
Menurut polis, abang mangsa yang berusia 28 tahun merancang jenayah itu selepas mengetahui adiknya menjalin hubungan dengan seorang lelaki berusia 24 tahun dan berhasrat untuk berkahwin.
Mangsa dan abangnya, yang berasal dari Uttar Pradesh, menetap di Manesar, India selama hampir enam tahun.
Masalah bermula apabila suspek menghantar adiknya pulang ke kampung halaman keluarga pada 15 November, namun mangsa melarikan diri pada 22 November untuk tinggal bersama teman lelakinya.
Penolong Ketua Polis Manesar, Virender Saini, berkata suspek kemudian mengatur rancangan membunuh mangsa dengan meminta bantuan rakannya.
Rakan tersebut menghubungi mangsa dan berpura-pura ingin membantu mangsa melarikan diri serta berkahwin dengan kekasihnya.
Tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa bersetuju bertemu suspek pada malam 10 Disember tetapi mangsa dibawa ke kawasan terpencil dan kemudian dirogol.
Apabila mangsa melawan, suspek memukulnya sebelum mencekiknya menggunakan selendang sehingga meninggal dunia.
Kedua-dua suspek melarikan diri ke kampung halaman masing-masing.
Polis turut mendedahkan abang mangsa cuba mengelirukan siasatan dengan menuduh teman lelaki mangsa sebagai pelaku, namun siasatan lanjut dan bukti lokasi kejadian membuktikan penglibatan abang dan rakannya.
Kedua-dua suspek akhirnya mengaku bersalah selepas disoal siasat. -Agensi


