suria

Serangan di Taipei: Penyerang berperwatakan introvert, tiada rekod buruk ketika sekolah

Penyerang dalam insiden stesen metro di Taipei merupakan bekas pelajar jurusan pengurusan restoran.

PENYERANG yang melakukan serangan rambang di stesen kereta api metro di Taipei, Taiwan pada Jumaat, digambarkan sebagai seorang yang introvert dan tinggi dengan kesedaran sivik semasa di sekolah.

Menurut laporan media negara tersebut, penyerang yang dikenal pasti sebagai Chang Wen, 27, merupakan pelajar jurusan pengurusan restoran di Sekolah Menengah Vokasional Yung Ping pada 2013. 

Seorang rakan sekelas berkata walaupun Chang gemar menyendiri, dia sentiasa bersedia membantu rakan yang menghadapi kesukaran.

Dalam catatan sewaktu graduasinya pada 2016, Chang digambarkan 'berprestasi baik, berfikiran sivik, berinteraksi harmonis dengan rakan sekelas dan tiada rekod negatif' oleh pihak sekolah.

Dalam pada itu, siasatan polis mendedahkan bahawa Chang menganggur kira-kira setahun dan tidak berhubung dengan keluarganya selama dua hingga tiga tahun.

Dia juga dipercayai mengikuti perkembangan insiden serangan di stesen kereta api metro di Taipei pada 2014. 

Rekod carian berkaitan serangan itu ditemui dalam tabletnya sejak 2024, dan polis mengesyaki dia menjalankan penyelidikan intensif sejak Oktober 2025 bagi merancang serangannya.

Dalam insiden kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat lalu, Chang menggunakan bom asap dan pisau panjang untuk menyerang orang awam di sekitar Stesen Metro Zhongshan,

Empat orang maut dalam kejadian itu, termasuk Chang sendiri yang terjatuh dari bangunan ketika cuba melarikan diri daripada ditangkap.

Motif serangan masih disiasat oleh pihak polis. -Agensi

 

Artikel Lain