suria

Pembantu makmal sekolah maut dipatuk ular, rupanya anak lelaki rancang pembunuhan demi bolot insurans lebih RM1 juta

Segelintir individu sanggup melakukan pembunuhan demi wang. -Gambar hiasan

KES kematian seorang lelaki akibat patukan ular yang pada awalnya disangka sebagai kemalangan, kini diklasifikasikan kes pembunuhan. 

Pembunuhan tersebut didakwa dirancang dan dilaksanakan oleh anak-anak lelaki mangsa sendiri bagi menuntut bayaran insurans hayat berjumlah kira-kira 3 crore Rupee (RM 1,365,412).

Mangsa, E P Ganesan, 56, seorang pembantu makmal di sebuah sekolah kerajaan di daerah Tiruvallur, Tamil Nadu, India, ditemui meninggal dunia di kediamannya pada Oktober lalu. 

Keluarga mangsa pada mulanya melaporkan kematian tersebut berpunca daripada gigitan ular, dan satu laporan polis telah dibuat dengan mengklasifikasikannya sebagai kematian akibat kemalangan.

Namun, kes itu mula menimbulkan syak wasangka apabila sebuah syarikat insurans mengesan tuntutan yang mencurigakan. 

Perkara itu kemudiannya dimaklumkan kepada polis yang membawa kepada penubuhan Pasukan Siasatan Khas.

Menurut Ketua Polis Tiruvallur, Vivekananda Shukla, hasil siasatan mendapati kedua-dua anak lelaki Ganesan telah berkomplot untuk membunuh bapa mereka dengan menjadikan kematian itu kelihatan seperti kemalangan akibat gigitan ular.

Mereka didakwa mendapatkan bantuan beberapa individu lain untuk memperoleh ular berbisa yang masih hidup.

Cubaan pertama dilaporkan berlaku kira-kira seminggu sebelum kematian mangsa, apabila seekor ular tedung dilepaskan untuk menggigit kakinya, namun gigitan tersebut tidak membawa maut.

Tidak berputus asa, anak-anak mangsa kemudian merancang serangan kedua dan kali ini, seekor ular mematuk bahagian lehernya.

Bagi mengukuhkan naratif kemalangan dan menghapuskan bukti, ular tersebut kemudiannya dibunuh di dalam rumah.

Pihak penyiasat turut mengesan kelewatan yang mencurigakan dalam membawa mangsa ke hospital, sekali gus menguatkan lagi teori bahawa kematian tersebut adalah pembunuhan terancang.

Setakat ini, enam individu telah ditahan, termasuk dua anak lelaki mangsa serta empat individu lain yang membantu mendapatkan ular.

Siasatan lanjut masih diteruskan. -Agensi

 

Artikel Lain