SEORANG lelaki ditahan polis selepas dipercayai memukul isterinya hingga maut menggunakan batang penyapu, dalam kejadian di bilik sewa mereka pada 17 Disember lalu.
Kejadian terbongkar selepas pihak Hospital Mission Phuket, Thailand melaporkan kemasukan seorang wanita tempatan berusia 51 tahun, dikenali sebagai Kai, yang mengalami kecederaan parah dipercayai akibat keganasan rumah tangga.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia walaupun menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).
Susulan kematian mangsa, polis dari Balai Polis Mueang Phuket bergegas ke kediaman pasangan itu di daerah Ratsada untuk menjalankan siasatan.
Di lokasi kejadian, polis menemui suami mangsa, Nuek, 54, dalam keadaan mabuk.
Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku menyerang isterinya menggunakan penyapu selepas mereka bertengkar ketika sedang minum alkohol bersama pada malam sebelumnya.
Suspek mendakwa hilang kawalan dan memukul mangsa berulang kali sebelum dia tertidur.
Keesokan pagi, suspek menyedari isterinya tidak sedarkan diri dan mengalami lebam di seluruh badan sebelum menghubungi ambulans.
Polis turut menemui sebatang penyapu yang patah di bilik tidur, yang dipercayai digunakan dalam serangan tersebut dan merampasnya sebagai bahan bukti.
Suspek kini didakwa mengikut Seksyen 290 Undang-undang Jenayah Thailand kerana menyebabkan kematian akibat serangan fizikal, yang membawa hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun. -Agensi


