suria

Lelaki saman tunang sebab makan banyak, tuntut hantaran dan kos belanja sepanjang percintaan

Pergaduhan antara pasangan adalah perkara biasa. -Gambar hiasan AI

 

SEORANG lelaki menjadi bahan kecaman warganet selepas menyaman bekas tunangnya sendiri semata-mata untuk mendapatkan semula wang yang dibelanjakan sepanjang tempoh percintaan.

Lebih mengejutkan apabila dia turut mendakwa wanita itu makan terlalu banyak.

Kisah melibatkan bekas pasangan itu tular di media sosial selepas kes perbicaraan mahkamah mereka dilaporkan pada 9 Disember lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku di Heilongjiang, China.

Menurut media tempatan lelaki berkenaan yang dikenali dengan nama keluarga He memfailkan saman terhadap bekas tunangnya, Wang, bagi menuntut semula wang hantaran awal sebanyak 20,000 yuan (sekitar RM13,000).

Pada masa sama, dia turut menuntut Wang memulangkan 30,000 yuan (sekitar RM19,500) yang didakwanya dibelanjakan sepanjang mereka bercinta, termasuk pembelian barangan peribadi seperti stokin hitam dan pakaian dalam.

Mereka yang berkenalan melalui orang tengah sebelum bertunang kemudiannya berpindah ke wilayah Hebei untuk mengusahakan restoran milik keluarga lelaki berkenaan.

Wang membantu menguruskan perniagaan itu selama enam bulan, namun He mendakwa dirinya mula tidak berpuas hati kerana wanita tersebut hanya melakukan kerja-kerja ringan.

"Dia makan barang jualan setiap hari, jadi tidak cukup untuk dijual," katanya.

He turut mendakwa keluarganya kecewa dan merasakan sikap Wang telah berubah, selain menyerahkan senarai barangan yang dibelinya kepada mahkamah sebagai bukti.

Bagaimanapun, Wang membidas tindakan bekas tunangnya itu dan menyifatkan lelaki tersebut terlalu berkira.

"Dia terlalu berkira, saya ini teman wanitanya.

"Awak tak menikmati ke stokin dan pakaian dalam yang awak belikan untuk saya?" soalnya di mahkamah.

Susulan daripada itu, mahkamah memutuskan untuk menolak tuntutan He bagi pemulangan 30,000 yuan kerana wang tersebut dibelanjakan untuk barangan peribadi yang memberi nilai emosi kepada kedua-dua pihak.

Namun, Wang diarahkan untuk memulangkan separuh daripada jumlah hantaran awal yang diterima.

Kedua-dua pihak dilaporkan berpuas hati dengan keputusan berkenaan. -Agensi

Artikel Berikut

Artikel Lain