suria

Penerbangan tergendala 12 jam, warga emas ‘disorong’ lima beranak maut dalam pesawat sebelum berlepas

Penumpang terlibat terpaksa menunggu 12 jam untuk penerbangan seterusnya. -Foto Daily Mail

SEBUAH penerbangan EasyJet dari Malaga, Sepanyol ke London tergendala hampir 12 jam selepas seorang penumpang warga emas, berusia 89 tahun, disahkan meninggal dunia sebelum pesawat berlepas.

Menurut penumpang, wanita itu dibawa masuk ke dalam pesawat oleh lima ahli keluarganya, yang mendakwa mangsa berada dalam keadaan keletihan.

Namun ketika pesawat sedang bergerak ke landasan pada pukul 11.15 pagi (Khamis), kru kabin menyedari wanita berkenaan sudah meninggal dunia.

Kejadian itu menyebabkan pesawat berpatah balik ke terminal dan semua penumpang terpaksa keluar seterusnya menyebabkan kelewatan penerbangan sehingga hampir 12 jam. 

Penerbangan akhirnya berlepas pada pukul 10.47 malam dan mendarat di Gatwick kira-kira tengah malam.

Seorang lagi saksi penumpang, Petra Boddington, berkongsi pengalamannya di TikTok dan menyifatkan situasi itu sebagai tidak wajar.

Pada masa sama, dia menegur EasyJet kerana membenarkan penumpang yang sudah nazak untuk naik ke pesawat.

Dalam pada itu, EasyJet menafikan dakwaan berkenaan dan memaklumkan penumpang terbabit mempunyai sijil perubatan fit to fly dan masih hidup ketika mendaftar masuk ke penerbangan.

Mereka menegaskan keselamatan penumpang dan kru adalah keutamaan syarikat.

Jurucakap Civil Guard di Malaga mengesahkan pegawai dipanggil ke pesawat dan wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di dalam pesawat sebelum berlepas.

Tiada tangkapan dilaporkan terhadap ahli keluarga yang mengiringinya. -Agensi

Artikel Lain