RAWATAN rutin yang sepatutnya menyelamatkan nyawa bertukar tragedi apabila lima kanak-kanak penghidap talasemia disahkan dijangkiti HIV selepas menerima pemindahan darah tercemar di fasiliti kesihatan kerajaan.
Kejadian dilaporkan berlaku di Madhya Pradesh, India.
Berdasarkan laporan NDTV, kesemua kanak-kanak terbabit yang bergantung sepenuhnya kepada pemindahan darah berkala menerima sebanyak 189 unit darah daripada tiga bank darah berbeza.
Keadaan itu menyebabkan mereka terdedah kepada darah daripada lebih 150 penderma, sekali gus meningkatkan risiko jangkitan secara ketara.
Siasatan peringkat daerah mengesahkan virus HIV berpunca daripada darah penderma.
Susulan itu, Jabatan Kesihatan Awam dan Kebajikan Keluarga mengambil tindakan tegas dengan menggantung tugas seorang pegawai bank darah dan dua juruteknik makmal.
Selain itu, notis tunjuk sebab turut dikeluarkan kepada bekas Pakar Bedah Awam Hospital Daerah Satna, Dr Manoj Shukla.
Beliau turut diarahkan mengemukakan penjelasan bertulis dan diberi amaran tindakan tatatertib yang lebih keras akan diambil sekiranya penjelasan tersebut tidak memuaskan.
Tindakan turut dikenakan terhadap Dr Devendra Patel selaku Pakar Patologi dan Pegawai Bank Darah, serta dua juruteknik makmal, Ram Bhai Tripathi dan Nandlal Pandey.
Kesemua tindakan itu diambil berdasarkan laporan awal siasatan oleh jawatankuasa tujuh anggota yang ditubuhkan di bawah pengerusi Dr Yogesh Bharsat, IAS, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ayushman Bharat.
Terdahulu, insiden berkenaan disifatkan sebagai antara kegagalan kesihatan awam paling buruk di Satna dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.
Kegagalan itu menimbulkan persoalan berkaitan kecuaian serta kelemahan sistem keselamatan dan pemantauan darah. -Agensi


