suria

[V] Tujuh maut jet peribadi terhempas... Greg Biffle bekas pemandu NASCAR antara terkorban

Biffle (kanan) dipercayai salah seorang daripada tujuh mangsa terkorban dalam nahas tersebut.

TUJUH orang terbunuh apabila sebuah jet peribadi jenis Cessna 550 terhempas di Lapangan Terbang Wilayah Statesville, Carolina Utara, pada Khamis.

Antara mangsa yang dipercayai terkorban ialah bekas pemandu NASCAR, Greg Biffle, dan beberapa ahli keluarga terdekatnya, demikian menurut kenyataan NASCAR.

Namun, pengesahan rasmi identiti mangsa masih belum dapat dibuat berikutan kebakaran teruk yang berlaku selepas nahas tersebut.

Senarai penuh tujuh penumpang akan dikeluarkan sebaik sahaja proses pengesahan oleh pejabat pemeriksa perubatan selesai.

Menurut laman web penjejakan penerbangan, FlightAware, pesawat itu dalam perjalanan ke Florida sebelum cuba berpatah balik ke lapangan terbang berkenaan sejurus selepas berlepas, dipercayai akibat cuaca buruk sekitar pukul 10.15 pagi waktu tempatan (1515 GMT).

Gambar dan video [Tonton Video] yang disiarkan oleh media tempatan dan di media sosial menunjukkan kebakaran besar di atas landasan, dengan serpihan pesawat berselerakan di kawasan kejadian. 

Biffle, 55, merupakan antara pemandu terkenal NASCAR, dengan rekod memenangi 19 perlumbaan Siri Piala sepanjang kerjaya selama 20 tahun. 

Perlumbaan terakhirnya adalah pada Geico 500 2022 di Talladega. 

Pada 2023, beliau dinamakan sebagai salah seorang daripada 75 Pemandu Terhebat NASCAR.

Susulan nahas tersebut, lapangan terbang berkenaan ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan serpihan di landasan dijalankan sebelum ia dibuka semula, menurut pegawai bandar dalam satu sidang akhbar. -Agensi

Artikel Lain