suria

Mayat lima individu ditemukan rentung berpelukan dalam rumah... Percikan api pengecas kereta elektrik jadi punca

Keadaan kediaman yang terbakar. -Foto Kompas

LIMA penghuni sebuah rumah yang hangus terbakar dalam kejadian menyayat hati pada Khamis malam, ditemuikan dalam keadaan berpelukan.

Kesemua mayat mangsa ditemukan di dalam sebuah bilik di tingkat dua rumah berkenaan pada pagi Jumaat, sejurus pasukan bomba mengisytiharkan proses penyejukan kebakaran selesai.

Kejadian dilaporkan berlaku di Jalan Lindung, Mukim Pejagalan, Penjaringan, Jakarta Utara di Indonesia.

Ketua Polis Metro Penjaringan, AKBP Agus Ady Wijaya berkata, kesemua mangsa dipercayai cuba menyelamatkan diri sebelum ditemukan rapat dan berpelukan antara satu sama lain.

"Kelima-lima mereka agak rapat dan kelihatan berpelukan antara satu sama lain," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian pada Jumaat.

Menurut Agus, pasukan pengecaman polis sebenarnya telah berada di tempat kejadian sejak awal pagi, namun tidak dibenarkan memasuki lokasi kerana proses penyejukan masih dijalankan.

"Pasukan pengecaman tiba sekitar pukul 3 pagi, namun hanya dibenarkan masuk pada pukul 7 pagi selepas dimaklumkan keadaan sekitar selamat," jelasnya.

Kesemua mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Cipto Mangunkusumo (RSCM) untuk proses bedah siasat dan pengecaman lanjut.

Dalam pada itu, polis akan bekerjasama dengan pasukan Makmal Forensik bagi menyiasat punca sebenar kebakaran.

Bagaimanapun hasil siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada percikan api daripada sebuah kereta elektrik yang sedang dicas di kawasan rumah berkenaan.

Keadaan rumah yang dipenuhi cat untuk perniagaan aksesori pasu bunga membuatkan api merebak dengan cepat. -Agensi

Artikel Lain