SEORANG bayi lelaki, Ryu Lopez, dianggap sebagai kanak-kanak ‘ajaib’ selepas berkembang sepenuhnya di luar rahim ibunya.
Kewujudan bayi itu hanya diketahui oleh pasukan perubutan ketika mereka sedang bersiap untuk membuang sista (cyst) ovari Suze Lopez, 41, yang seberat 9.98 kilogram (kg).
“Suze hamil, tetapi rahimnya kosong, manakala sebuah sista ovari besar seberat lebih 9.98 kg mengambil terlalu banyak ruang.
“Kami kemudian menemui seorang bayi lelaki hampir cukup bulan dalam ruang kecil di abdomen.
Bayi itu berada berhampiran hati, dengan punggungnya berada di atas rahim,” kata Dr. John Ozimek, pengarah perubatan bahagian bersalin di Cedars-Sinai Medical Center, Los Angeles, dalam satu kenyataan media.
Menurut doktor, kehamilan yang berkembang di luar rahim sehingga ke tahap ini hampir tidak pernah berlaku.
Kehamilan ektopik abdomen mempunyai risiko sangat tinggi terhadap pendarahan serius ibu dan kematian janin kerana plasenta tidak boleh membesar dengan selamat di abdomen.
“Untuk bayi selamat dilahirkan daripada kehamilan seperti ini adalah sangat jarang, dan mereka yang selamat sering menghadapi masalah kesihatan serius selepas kelahiran,” kata doktor lagi.
Dalam pada itu, Suze turut meluahkan rasa syukur apabila berjaya menimang cahaya mata kedua selepas menanti selama 17 tahun.
“Selepas 17 tahun berdoa dan mencuba untuk mendapatkan anak kedua, saya tidak percaya akhirnya saya hamil,” kata Suze.
Prosedur pada 18 Ogos lalu itu melibatkan pasukan 30 pakar bagi memastikan bayi tersebut dilahirkan secara selamat.
Ryu dilahirkan dengan berat 0.45 kg dengan rambut penuh dan hanya mengalami beberapa masalah kesihatan kecil, kata doktor. -Agensi.


