SEORANG wanita yang hamil enam bulan maut selepas dipercayai dipukul ahli keluarganya sendiri.
Mangsa yang baru berusia 19 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta selepas kejadian pada petang Ahad.
Insiden tragis itu dilaporkan berlaku di Hubballi, Karnataka, India.
Berdasarkan siasatan awal, mangsa mengalami kecederaan parah akibat dipukul menggunakan sebatang paip besi dan peralatan pertanian.
Ia berikutan ahli keluarganya tidak merestui perkahwinan yang dilangsungkan pada Mei lalu.
Dia yang pada awalnya tinggal di Haveri kerana bimbang ancaman keselamatan mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan tinggal bersama keluarga suaminya.
Namun malangnya, tindakan tersebut diketahui keluarga mangsa yang kemudiannya cuba menyerang suami dan bapa mentuanya ketika mereka sedang bekerja di ladang pada hari kejadian.
Cubaan itu gagal apabila kedua-duanya berjaya melarikan diri, sekali gus mencetuskan kemarahan suspek yang kemudian menyerbu rumah mangsa pada waktu petang.
Dalam pada itu, polis mengesahkan penahanan tiga individu termasuk bapa mangsa.
Kes disiasat mengikut undang-undang sedia ada dan siasatan lanjut masih dijalankan oleh Polis Luar Bandar Hubballi. -Agensi


