suria

Lelaki pecah rumah maut selepas rempuh pintu kaca ketika cuba larikan diri

Kelihatan pintu kaca rumah mangsa yang pecah dipercayai dirempuh suspek ketika melarikan diri. -Foto Khaosod

SEORANG lelaki yang memecah masuk sebuah rumah dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah akibat merempuh pintu kaca ketika cuba melarikan diri. 

Insiden tersebut berlaku di sebuah rumah townhouse tiga tingkat yang terletak di daerah Bang Pakong, Thailand pada Selasa.. 

Ketika kejadian, pemilik rumah berada di tingkat atas bersama anak perempuan serta cucu perempuannya yang berusia satu tahun. 

Mereka mula menyedari sesuatu yang mencurigakan selepas terdengar bunyi bising dari tingkat bawah, lalu segera menghubungi pihak polis.

Anggota dari Balai Polis Bang Pakong yang diketuai oleh Leftenan Polis Noppadon Taweechart bergegas ke lokasi sebaik saja menerima panggilan.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan pecah masuk, dengan wayar dan barangan berharga bertaburan di tingkat satu. 

Serpihan kaca dan kesan darah turut ditemui di dalam rumah, dipercayai milik lelaki berkenaan ketika cuba melarikan diri.

Susulan penemuan tersebut, polis menjejaki kesan darah yang membawa mereka sejauh hampir 300 meter dari rumah berkenaan, sebelum menemui seorang lelaki dipercayai penceroboh terbabit yang sedang rebah.

Lelaki tersebut, yang identitinya masih belum dikenal pasti, dihantar ke Hospital Bang Pakong namun dia disahkan meninggal dunia di hospital akibat kecederaan serius dan kehilangan darah yang banyak.

Kes berkenaan kini dalam siasatan lanjut pihak polis. -Agensi

Artikel Lain