RUTIN menaiki bas bertukar menjadi pengalaman menakutkan bagi seorang pemuda apabila dia mendakwa diganggu secara tidak sopan oleh seorang lelaki warga emas.
Pemuda itu berkata dia berasa terkejut dan ketakutan apabila lelaki tua itu melanggar batas peribadinya dan cuba menyentuhnya secara seksual.
“Semasa menaiki bas, saya mengalami sesuatu yang tidak pernah dijangka. Lelaki tua itu melanggar batas peribadi saya dan cuba menyentuh saya dengan cara tidak sepatutnya,” katanya.
Pemuda yang dikenali sebagai Abhiishek menekankan bahawa gangguan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, tanpa mengira umur atau jantina.
“Bahkan lelaki pun tidak selalu selamat,” katanya yang merakam perbuatan warga emas tersebut.
Abhiishek juga menegur lelaki tua tersebut dan bertanya umurnya, yang dijawab sekitar 70 tahun.
Selepas menunjukkan video kepada konduktor bas, tindakan diambil dan penumpang warga emas itu diminta turun daripada kenderaan itu. -Agensi


