suria

Polis Marin Tahan Dua Lelaki, Rampas 8,200 Liter Diesel

SANDAKAN: Polis Marin menahan dua lelaki dan merampas 8,200 liter diesel bersubsidi bernilai RM106,400 yang dipercayai untuk diselewengkan, dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Jalil Alip dekat sini, Rabu lepas.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Madun berkata dalam serbuan pada 4.25 petang itu, polis menemui sebuah lori tangki yang dieselnya sedang dipam ke tangki lain.

Pemeriksaan lanjut menemukan dua tangki besar yang mengandungi 4,000 liter diesel dan 4,200 liter diesel.

"Minyak diesel di dalam dua tangki itu dipindahkan dari lori tangki berkenan untuk jualan," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.

Berikutan serbuan itu, polis menahan pemandu lori yang berusia 40 tahun dan penjaga premis itu yang berusia 54 tahun.

Diesel itu kemudian diserahkan kepada Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sabah untuk tindakan lanjut.

Diesel merupakan barang kawalan dan memindahkannya dari tempat dilesenkan ke tempat tidak dilesenkan serta diurusniagakan tanpa lesen adalah kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain