suria

Sting Tumpaskan Sindiket Dadah, Rampas Dadah Bernilai RM3 Juta

Anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) bersama dadah-dadah serta alatan pemprosesan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai rampasan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, Kuala Lumpur, Selasa. -fotoBERNAMA
Anggota Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) bersama dadah-dadah serta alatan pemprosesan dadah yang dirampas pada sidang media mengenai rampasan dadah oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di Bukit Aman, Kuala Lumpur, Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) Bukit Aman berjaya menumpaskan dua sindiket pengedaran dan pemprosesan dadah yang didalangi warga tempatan dan warga asing, Februari tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dengan tertumpasnya dua sindiket tersebut polis menganggarkan nilai keseluruhan dadah yang berjaya dirampas bernilai RM3 juta.

"Polis turut berjaya menahan seramai 11 orang ahli sindiket pengedaran dadah yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang perempuan tempatan serta enam lelaki dan seorang warganegara Iran dalam serbuan yang dijalankan oleh Sting.

"Turut dibongkar adalah dua buah makmal memproses dadah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini, Selasa.

Beliau berkata, antara jenis dadah yang dirampas merupakan 11.7 kg kristal syabu, 11.6 kg cecair syabu, 3.5 kg heroin, 1,100 biji pil ekstasi, 4.6 kg serbuk ephedrine dan 7.9 kg serbuk bahan kimia secara keseluruhannya.

Sting merupakan pasukan elit yang ditubuhkan untuk membanteras aktiviti 'raja dadah' atau 'kingkin dadah' yang baharu dilancarkan hujung Januari lalu.

Menurut Noor Rashid, modus operandi sindiket tersebut ialah dengan menyewa kediaman jenis kondominium mewah dan suspek-suspek terlibat akan melakukan aktiviti memproses dadah di situ.

Katanya, siasatan awal mendapati dadah diedar di sekitar Lembah Klang, namun tidak menolak kemungkinan ia juga diedar ke negeri-negeri lain.

Mengulas lanjut, jelasnya, tangkapan itu bermula dengan penahanan seorang lelaki tempatan pada 6 Februari di sebuah rumah di Taman Maluri, Kepong, kira - kira pukul 1.15 pagi.

"Hasil pemeriksaan, polis merampas tiga bungkusan plastik dadah heroin seberat 1.2 kg yang dijumpai di dalam sebuah peti kayu.

"Kemudian seorang lagi lelaki telah ditahan pada hari yang sama di sebuah rumah di Batu Caves, lebih kurang pukul tiga pagi hasil tindakan susulan," katanya.

Beliau menambah, serbuan di Batu Caves itu membawa kepada penemuan sebuah makmal memproses dadah.

Noor Rashid berkata, serbuan berikutnya dijalankan dua hari selepas serbuan pertama di tiga buah rumah berasingan di kawasan Cyberjaya, Jalan Ipoh dan Jalan Ampang.

Serbuan di Cyberjaya dan Jalan Ipoh di antara pukul 3.30 dan 4 pagi itu membawa kepada penangkapan enam lelaki dan seorang warganegara Iran.

"Salah seorang lelaki yang ditahan pernah ditahan pada tahun lepas tetapi dilepaskan atas sebab-sebab tertentu," katanya.

Dalam serbuan di Jalan Ampang pada pukul 8.20 pagi, sebuah lagi makmal haram berjaya dibongkar.

"Sejam selepas itu polis berjaya menahan sepasang suami isteri warga tempatan di Sungai Besi yang mana hasil pemeriksaan polis merampas dua plastik dadah jenis syabu di dalam kereta.

"Polis turut merampas wang tunai sebanyak RM213,308 dan tiga buah kenderaan jenis Toyota Vios, Honda City dan Honda Jazz," jelasnya.

Noor Rashid berkata kejayaan ini adalah hasil maklumat orang ramai dan tindakan penguatkuasaan berterusan oleh JSJN serta pasukan elit Sting untuk membanteras dadah dalam negara.

Artikel Sebelum

Artikel Lain