suria

Motosikal langgar penghadang jalan... Bakal pengantin maut patah leher, kepala terhentak tiang elektrik

Mangsa merupakan seorang lelaki Sweden berusia 47 tahun. -Foto Facebook

SEORANG bakal pengantin maut selepas motosikal jenis Honda PCX yang ditunggangnya terbabas, dalam kejadian pada petang Selasa.

Kemalangan di selekoh jalan itu membabitkan lelaki warga Sweden berusia 47 tahun dan berlaku di daerah Klaeng, Thailand.

Menurut pegawai Balai Polis Klaeng, mangsa mengalami kecederaan patah leher serta pendarahan di kepala.

Seorang saksi memberitahu mangsa menunggang motosikal dengan kelajuan dianggarkan melebihi 80 kilometer sejam. 

Apabila sampai di selekoh tersebut, mangsa hilang kawalan sebelum merempuh penghadang jalan.

Hentakan itu menyebabkan motosikal berpusing dan terlanggar tiang elektrik berhampiran. 

Kepala mangsa dilaporkan terhentak pada tiang dengan kuat, mengakibatkan kecederaan yang membawa maut.

Teman wanita mangsa, Onn, 50, berkata dia sudah menasihati lelaki tersebut supaya tidak menunggang motosikal kerana mabuk, namun nasihatnya diabaikan.

Menurut Onn, mangsa minum minuman keras sejak pagi hari kejadian. 

Mereka dijangka mendirikan rumah tangga tidak lama lagi dan turut merancang untuk ke Sweden pada Mac bagi meneruskan proses perkahwinan. -Agensi

Artikel Lain