suria

Isteri tentera sedang sarat hamil dedah suami angau bercinta dengan guru, tak balik rumah ketika hari cuti

Suami Tarn dan guru wanita yang didakwa menjadi kekasih gelapnya. -Foto Thaiger

SEORANG wanita yang kini hamil lapan bulan tampil membuat pendedahan mengejutkan apabila mendakwa seorang guru wanita menjalinkan hubungan sulit dengan suaminya yang merupakan anggota tentera.

Berkongsi secara terbuka mengenai kisah itu menerusi program televisyen popular Thailand, Hone Krasae di Saluran 3 pada Ahad, wanita dikenali sebagai Tarn itu berkata apa yang berlaku menyebabkan dia mengalami tekanan emosi serius dan hampir meragut nyawa bayi dalam kandungan.

Menurut Tarn, segalanya terbongkar apabila suaminya yang bercuti daripada tugasan ketenteraan tidak pulang ke rumah seperti biasa malah gagal dihubungi sepanjang hari. 

Keadaan itu mendorongnya mendapatkan bantuan pegawai atasan suaminya.

“Selepas pegawai atasan berjaya menghubungi suami saya, barulah saya dapat berjumpa dengannya. Ketika itu saya mula berasa curiga,” katanya.

Firasat Tarn terbukti benar apabila dia memeriksa telefon bimbit suaminya dan menemui perbualan berunsur romantis dengan seorang guru wanita dikenali sebagai Bee.

Tarn mendakwa suaminya mengaku berlaku curang dan berjanji untuk menamatkan hubungan tersebut. 

Tarn (tengah) tampil membuat pendedahan skandal suaminya menerusi program televisyen. 

Namun, dia kemudian mendapati kedua-duanya masih berhubung dan didakwa meneruskan hubungan intim selama beberapa bulan selepas itu.

“Saya minta dia pilih sama ada keluarga atau wanita itu, tetapi dia enggan membuat keputusan,” katanya, sambil menambah bahawa ugutan tindakan undang-undang juga tidak diendahkan oleh suaminya.

Tarn turut mendedahkan dia pernah dimasukkan ke hospital kerana mengalami  threatened miscarriage (keguguran terancam) disebabkan tekanan emosi berpanjangan.

Lebih menyedihkan, Tarn mendakwa suaminya langsung tidak datang melawatnya sepanjang dirawat, sebaliknya terus meluangkan masa bersama guru wanita berkenaan.

Dalam temu bual itu, Tarn turut mendesak agar guru wanita tersebut dipecat kerana menganggap tingkah lakunya tidak mencerminkan nilai seorang pendidik dan tidak wajar menjadi contoh kepada kanak-kanak.

Walaupun menyedari pendedahan beraninya boleh menjejaskan kerjaya ketenteraan suaminya, Tarn menegaskan dia tetap mahu menuntut keadilan demi diri dan anak yang bakal dilahirkan.

Setakat ini, pihak tentera yang merupakan majikan suaminya masih belum memberikan respons rasmi, manakala pihak sekolah tempat guru wanita tersebut berkhidmat memaklumkan satu jawatankuasa siasatan akan ditubuhkan bagi meneliti dakwaan tersebut. -Agensi

Artikel Lain

[V] Isma Aliff meninggal dunia