PEREBUTAN jawatan dalam sektor kerajaan dan wang ganjaran perkhidmatan (gratuity) menjadi punca seorang wanita berusia 60 tahun didakwa membunuh menantunya sendiri.Menurut polis, suspek, Latabai Natha Gangurde ditahan selepas dipercayai membunuh Rupali Vilas Gangurde, 35, susulan pertikaian membabitkan jawatan dipegang mendiang anaknya serta wang ganjaran kematian. Suami Rupali, Vilas yang bekerja dengan sebuah syarikat kereta api di India meninggal dunia pada September 2025.Sejak itu, Rupali menerima wang ganjaran kematian bernilai sekitar Rs10 lakh (RM50,000), namun Latabai didakwa menuntut wang tersebut untuk dirinya.Pada Khamis, polis menerima maklumat mengenai seorang wanita ditemukan dalam keadaan parah berhampiran jambatan Waldhuni di Kalyan, Maharashtra, India sebelum disahkan meninggal dunia.Kes itu pada mulanya direkodkan sebagai kematian mengejut, namun berubah apabila Latabai tampil membuat laporan kehilangan terhadap Rupali dan mengenal pasti mayat tersebut sebagai menantunya.Siasatan lanjut mendapati Latabai mahu cucunya yang berusia 15 tahun mendapatkan jawatan itu atas dasar ihsan, namun Rupali terlebih dahulu memohon jawatan berkenaan.Berang dengan tindakan itu, Latabai dipercayai bersekongkol dengan seorang rakan lelaki berusia 67 tahun sebelum menyerang Rupali menggunakan besi sehingga maut.Suspek kemudian dipercayai membersihkan kesan darah dan membuang mayat berhampiran jambatan berkenaan bagi mengelirukan siasatan.Kedua-dua suspek kini ditahan dan disiasat atas pertuduhan membunuh serta melupuskan bukti. -Agensi