ONSA 2025 menetapkan platform bertindak lebih pantas terhadap laporan pengguna serta memastikan kandungan berbahaya tidak terus tersebar dalam talian. -Foto BERNAMA
AKTA Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang berkuat kuasa sepenuhnya mulai 1 Januari 2026 menetapkan tanggungjawab lebih jelas kepada platform digital dalam melindungi keselamatan pengguna.Melalui pelaksanaan akta itu, platform digital kini diwajibkan bertindak lebih awal bagi mengesan dan mengurangkan risiko kandungan berbahaya, termasuk penipuan, buli dalam talian serta ancaman terhadap kanak-kanak, dan bukan hanya bertindak selepas kemudaratan berlaku. Pelaksanaan akta itu menerima reaksi positif orang ramai khususnya golongan ibu bapa dan guru dalam melindungi kanak-kanak daripada sebarang ancaman dalam talian.Menurut seorang guru, Mohd Khairel Ran, dia melihat pelaksanaan ONSA 2025 mampu membentuk komuniti dalam talian yang lebih selamat untuk melindungi kanak-kanak."Saya sangat bersetuju dengan pelaksanaan ONSA 2025 yang mana ia sepatutnya sudah lama diperkenalkan di negara ini. "Golongan kanak-kanak dan remaja biasanya suka 'berkasih-sayang' dan mencari perhatian di media sosial tanpa mengetahui sebab dan akibat."Jadi, pelaksanaan ONSA 2025 boleh melindungi mereka, sekali gus menyumbang kepada kesejahteraan komuniti di sekolah dan juga komuniti dalam talian," ujarnya kepada mStar.Golongan ibu bapa dan guru menyambut baik pelaksanaan ONSA 2025 bermula 1 Januari.Seorang lagi wanita yang juga ibu kepada seorang cahaya mata, Nurazurah Azhar turut gembira dengan pelaksanaan ONSA 2025."Sebagai ibu, saya rasa pelaksanaan ONSA 2025 ini baik bagi melindungi pengguna, terutamanya kanak-kanak yang sering terdedah kepada risiko seperti buli dalam talian, kandungan tidak sesuai, atau penderaan seksual."Dengan adanya ONSA 2025, penyedia platform media sosial diwajibkan bertindak pantas terhadap aduan. Maka, saya berharap kes-kes seperti buli siber atau 'grooming' dapat dicegah lebih awal."Keyakinan saya untuk membenarkan anak menggunakan internet juga meningkat selepas akta ini dilaksanakan," ujarnya lagi.Dengan pelaksanaan ONSA 2025, pengguna juga dijangka menerima perlindungan lebih awal daripada penipuan dan kandungan berbahaya, selain memastikan persekitaran internet yang lebih selamat untuk kanak-kanak dan keluarga tanpa menjejaskan penggunaan harian internet.Komuniti peniaga dalam talian juga akan terus dilindungi menerusi pengenalan akta ini.Penguatkuasaan ONSA 2025 turut menetapkan platform bertindak lebih pantas terhadap laporan pengguna serta memastikan kandungan berbahaya tidak terus tersebar dalam talian. Sejajar dengan pelaksanaannya, seorang peniaga dalam talian, Siti Nabilah Muda turut meluahkan rasa lega dan berharap golongan sepertinya bakal dilindungi daripada sebarang ancaman penipuan."Apabila berniaga secara dalam talian, secara tak langsung kita terdedah kepada pelbagai teknik penipuan yang semakin 'kreatif' sehingga ramai yang menjadi mangsa, termasuklah peniaga dan pelanggan."Penipuan yang disebut sebagai 'scam' ini bukan kes terpencil, sebaliknya menjadi satu ancaman yang merugikan peniaga dan pelanggan. Sebelum ini, ramai yang berputih mata tanpa pembelaan."Jadi saya lega, gembira dan bersyukur dengan pelaksaan ONSA 2025. Saya pasti ia dapat mencegah akaun-akaun dan iklan palsu. Sudah tiba masanya penyedia platform digital mengambil tanggungjawab dalam melindungi orang awam daripada sebarang ancaman dalan talian," ujarnya lagi.