suria

Pemandu Honda Jazz baru lepas curi wang sebelum rempuh pelajar UniSZA, ada rekod psikiatri

Pemandu Honda Jazz disahkan mempunyai rekod menerima rawatan sebagai pesakit psikiatri sejak Januari tahun lalu.

PEMANDU Honda Jazz yang merempuh kereta dipandu penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sehingga maut disahkan mempunyai rekod rawatan psikiatri di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Terengganu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu dikenal pasti menghidap Major Depression Disorder (MDD) dan telah mendapatkan rawatan sejak Januari tahun lalu.

Menurut Azli, suspek yang mengalami kecederaan patah tangan kanan serta luka ringan di beberapa bahagian badan selepas kemalangan berkenaan, kini masih menerima rawatan di HSNZ.

"Kenderaan Honda Jazz dipandu lelaki itu adalah milik adiknya sendiri dan bukannya kenderaan curi seperti yang ditularkan di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Jenazah arwah Syakirah Hanan sempurna, hampir 1,000 beri penghormatan terakhir di tanah perkuburan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] "Anak siapalah tu, kesiannya...” - Ibu bapa pelajar UniSZA sempat lalu di lokasi nahas

"Sebelum kejadian, lelaki terbabit sempat menceroboh masuk ke dalam sebuah kenderaan jenis Honda City yang parkir di perkarangan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.

"Dia juga ada mencuri beberapa barangan termasuk wang tunai sebanyak RM200 milik pemilik kenderaan berkenaan. Lelaki itu juga seterusnya masuk semula ke dalam Honda Jazz dan memecut kenderaan itu sebelum berlaku kemalangan di Jalan Kemajuan," katanya.

Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan insiden berkenaan.

Azli menambah, lelaki tersebut akan ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada Isnin, mangsa rempuhan, Syakirah Hanan Mazli, 25, dilaporkan meninggal dunia selepas kereta Perodua Viva dipandunya dirempuh sebuah Honda Jazz ketika melalui simpang empat Jalan Kemajuan, Kuala Terengganu pada pukul 1.38 tengah hari.

Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada tujuh beradik itu dilaporkan sedang dalam perjalanan ke Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi menguruskan urusan berkaitan latihan mengajar yang dijadualkan bermula Mac ini.

Jenazah penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Kuala Bedah kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Artikel Lain

[V] Isma Aliff meninggal dunia