suria

“Saya lalu kawasan tu, menggigil-gigil sepanjang jalan” - Wanita terkejut nampak mayat tergantung di jejantas

Kematian lelaki tersebut diklasifikasi sebagai Laporan Kematian Mengejut. -Foto Media Sosial

PENGGUNA jalan raya dikejutkan dengan penemuan seorang lelaki yang sudah meninggal dunia dalam keadaan tergantung di sebuah jejantas bersebelahan sekolah di Taman Damansara Aliff, Johor Bahru pada pagi Isnin.

Berita penemuan mayat itu turut menjadi tular di media sosial selepas beberapa individu mendakwa melalui kawasan berkenaan ketika pasukan penyelamat dan pihak berkuasa baru tiba di lokasi kejadian.

"Saya lalu kawasan sini pagi tadi. Menggigil-gigil sepanjang perjalanan. Bomba baru sampai je masa tu belum ubah kedudukan (mayat) lagi.

"Saya lalu juga, tapi rasanya kejadian baru sebab masa tu ada nampak cikgu-cikgu dengan polis trafik je dua orang. Masa dah nak sampai pejabat dekat Damansara Aliff, tiba-tiba ada ambulans," komen beberapa netizen.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan seorang lelaki berusia 43 dipercayai warga tempatan pada kira-kira pukul 8.54 pagi.

Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Kematian Mengejut (SDR) dan mayat telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk tindakan lanjut.

Menurut Raub, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kematian, manakala kerja-kerja menurunkan mayat telah dijalankan oleh anggota bomba.

Perkara itu turut disahkan oleh seorang anggota bomba yang terlibat dalam operasi berkenaan, memaklumkan pasukannya telah memberi respons ke lokasi kejadian pada pagi hari sama.

Artikel Lain

Isma Aliff meninggal dunia