Bantuan one-off RM100 SARA disalurkan terus ke MyKad semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas untuk keperluan membeli barangan asas. -Gambar hiasan
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 untuk setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas, akan dikreditkan ke dalam kad pengenalan pada 9 Februari depan.Menurut Anwar, bantuan tersebut disalurkan untuk dimanfaatkan sebagai persiapan menyambut Ramadan dan sambutan Tahun Baharu Cina. Beliau dalam pada itu menambah, pendaftaran baru bagi bantuan ini akan diperluaskan kepada peniaga-peniaga kecil terutamanya di kawasan perkampungan. ARTIKEL BERKAITAN: Sekali lagi rakyat Malaysia diberi SARA RM100! Boleh berbelanja sambut Ramadan, Tahun Baru Cina"Jadi tahun ini kita akan cuba libatkan pendaftaran baru program SARA kepada peniaga-peniaga kecil, kedai runcit. "Sasaran kita 10,000 peniaga kecil untuk terlibat dalam program SARA tahun ini," ujarnya ketika menyampaikan ucapan di Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Januari dan Amanat Tahun 2026, pada Isnin. Untuk rekod, bantuan one-off RM100 SARA (Sumbangan Asas Rahmah) adalah kredit tanpa tunai yang disalurkan terus ke MyKad semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bermula 31 Ogos tahun lalu untuk kegunaan membeli barangan keperluan asas, bertujuan meringankan kos sara hidup. Bantuan ini berasingan daripada SARA bulanan STR dan semakan boleh diuat melalui Portal MyKasih atau MySTR.