KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman segera mengenai dakwaan kemasukan individu tidak berkaitan serta aktiviti tidak bermoral di dalam sebuah kem tentera seperti hantaran tular di media sosial. Unit Komunikasi Strategik Kementerian Pertahanan memaklumkan, siasatan itu bertujuan menentukan kesahihan dakwaan berkenaan secara menyeluruh."Dakwaan yang tersebar tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan."Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa," ujarnya dalam kenyataan pada Isnin.Dalam pada itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi Kementerian Pertahanan mahupun ATM.Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa komited dalam memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi serta tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang perlakuan yang boleh menjejaskan imej dan kredibiliti institusi pertahanan negara.Terdahulu tular beberapa video dan gambar yang memaparkan kegiatan tidak bermoral termasuk mesej perbualan seorang individu dipercayai orang awam yang dibawa masuk ke kem tentera berkenaan.Terdapat dakwaan bahawa individu tersebut adalah escort girl atau digelar 'Yeye' dalam kalangan anggota dan pegawai ATM berkenaan.Lebih mengejutkan apabila dia mendakwa aktiviti sosial tersebut turut melibatkan hubungan intim dan alkohol.