SATU taktik penipuan baharu menggunakan iklan jualan ikan segar di media sosial dikesan, bagi memperdaya mangsa khususnya golongan warga emas yang kurang pendedahan terhadap jenayah siber.Seorang wanita warga emas menjadi mangsa selepas tertarik dengan iklan 'jualan ikan segar, baru turun dari laut' yang dipaparkan di Facebook. Menurut anak lelakinya, 'penjual' terbabit menawarkan perkhidmatan penghantaran terus ke rumah dengan kaedah pembayaran tunai semasa serahan (COD), malah menjanjikan pertukaran ikan sekiranya didapati tidak segar."Dari segi perbualan antara penjual scammer ni dengan mak saya tidaklah kelihatan ia adalah satu bentuk penipuan. Sebab sebelum ini pun mak pernah beli barang dari iklan Facebook," katanya. Iklan jualan ikan dan transaksi pengeluaran yang mengakibatkan warga emas kerugian hampir RM12,000. -Gambar media sosialBagaimanapun, keadaan berubah apabila penjual memaklumkan sistem COD kononnya mengalami gangguan dan meminta mangsa memuat turun aplikasi khas dikenali sebagai Kerja Express, melalui pautan yang diberikan."Rupanya aplikasi itu untuk 'hack' telefon mak saya dan ambil duit dari aplikasi bank yang ada dalam tu. Mujurlah mak dapat kesan transaksi mencurigakan itu dengan lebih awal. "Itu pun banyak juga dia 'tarik' keluar duit dari akaun Tabung Haji mak yang 'link' dengan akaun Maybank sebelum transaksi kepada akaun keldai," katanya.Berdasarkan perkongsian di Threads, sebanyak tiga kali transaksi pengeluaran telah dilakukan 'peniaga ikan' melibatkan jumlah hampir RM12,000."Berat sungguh dugaan mak sebelum menunaikan haji ni. Mujurlah duit simpanan ASB, Bank Rakyat dan lain-lain simpanan dia tak sempat nak buat."Jadi inilah taktik terbaharu scammer untuk ambil duit tanpa pengetahuan kita. Laporan polis sudah dibuat, semua akaun bank telah disekat, dan saya mohon doa semoga ada sinar buat mak saya dapat balik duit yang dia nak gunakan untuk belanja haji," katanya.Cara elak jadi mangsa scammer - Jangan muat turun aplikasi melalui link WhatsApp atau Facebook.- COD tak perlukan aplikasi, jika diminta muat turun, itu tanda scam.- Elakkan percaya iklan dengan servis atau tawaran terlalu ‘manis’ dan janji luar biasa.- Jangan benarkan akses telefon atau aplikasi bank kepada pihak tidak dikenali.- Hadkan aplikasi perbankan dan tetapkan had transaksi harian rendah.- Ibu bapa wajib bertanya anak dulu sebelum beli barang dalam talian.- Terus hubungi bank dan buat laporan polis jika nampak transaksi mencurigakan.