suria

SapuraKencana Petroleum Ambil Alih Newfield Malaysia Pada Harga AS$895.9 Juta

KUALA LUMPUR: Firma gas dan minyak Malaysia, SapuraKencana Petroleum Bhd selesai melaksanakan pengambilalihan kepentingan Newfield International Holdings Inc dalam Newfield Malaysia Holdings Bhd pada nilai AS$895.9 juta.

Newfield International membuka bidaan antarabangsa untuk mengambil alih kepentingannya dalam Newfield Malaysia, dan SapuraKencana telah dipilih sebagai pembida yang berjaya selepas melalui dua peringkat proses pembidaan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Selasa, SapuraKencana menjelaskan, selepas pengambilalihan itu, SapuraKencana Energy Inc, unit huluan milik penuh yang baharu ditubuhkan akan memegang kepentingan ekuiti dalam lapan kontrak perkongsian pengeluaran (PSCs) dan satu kontrak kerjasama di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu yang memetik Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SapuraKencana Petroleum, Tan Sri Shahril Shamsuddin sebagai berkata, mereka berharap akan dapat menjalin kerjasama rapat dengan Petroliam Nasional Bhd dan rakan kongsi PSC yang lain dalam merealisasikan potensi penuh bidang sedia ada, memanfaatkan rekod prestasi yang telah terbukti dan keupayaan syarikat itu.

"Kami akan terus mengukuhkan organisasi dan yakin untuk mengembangkan perniagaan ini serta memberi cadangan nilai yang unik kepada rakan kongsi dan pemegang saham," katanya lagi.

Shahril menambah, syarikat itu telah mengenal pasti sektor huluan sebagai satu lagi bidang pertumbuhan yang berpotensi dan SapuraKencana Energy akan menerajui perniagaan huluan kumpulan itu yang dijangka menjadi satu lagi bahagian teras dan penyumbang penting kepada kumpulan berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain