suria

Lelaki Ditembak Ketika Larikan Diri Bersama Rakan

Kereta Satria Neo dinaiki suspek yang disyaki dicuri.
Kereta Satria Neo dinaiki suspek yang disyaki dicuri.
Kereta Satria Neo dinaiki suspek yang disyaki dicuri.

KUALA LUMPUR: Seorang penjenayah telah ditembak oleh polis ketika dia bersama-sama rakan lain termasuk seorang wanita melarikan diri dengan sebuah kereta di Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2) lewat malam Jumaat.

Suspek, berusia antara 20 hingga 26 tahun juga merempuh lapan buah kereta dan dua motosikal ketika memecut sebelum ditangkap oleh polis pada Jumaat.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Khairi Ahrasa berkata sepasukan anggota polis dari daerah Sentul pada mulanya ternampak suspek di kawasan perumahan di Wangsa Maju kira-kira pukul 8.30 malam Jumaat.

Beliau berkata, suspek yang berada dalam Satria Neo berwarna merah, kelihatan mencurigakan.

Khairi berkata, apabila polis meminta ketiga-tiga mereka keluar dari kereta, pemandunya mengabaikannya dan bertindak memecut, merempuh motosikal anggota polis.

"Suspek kemudian memecut menuju ke arah MRR2 Ampang," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Khairi berkata pemandu juga merempuh lapan kereta dan dua motosikal semasa dikejar yang memaksa polis melepaskan tembakan.

Tambahnya, selepas polis melepaskan kira-kira empat tembakan, pemandu bertindak berhenti di tepi jalan di JLT2 berhampiran Taman Ampang Hilir.

"Apabila kami memeriksa kenderaan, kami mendapati bahawa pemandunya telah ditembak di kepala," katanya.

Suspek, yang berada dalam keadaan kritikal dihantar ke Hospital Ampang dan disahkan mati pada pukul 5.40 pagi.

Polis kemudian menahan dua orang lain di dalam kereta, termasuk seorang wanita.

Khairi berkata siasatan awal mendapati kereta itu dilaporkan dicuri di Wangsa Maju.

Beliau berkata polis turut merampas senapang angin, peluru, dua bilah parang, gari, peralatan dadah dan beg tangan yang telah disahkan daripada kes rompakan pada Jumaat petang di Wangsa Maju.

Khairi berkata kes disiasat di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana mencuri kereta.

Artikel Lain