suria

'Baguslah Kalau Amirudin Nak Tanding Ketua AMK’ – Nik Nazmi

PETALING JAYA: Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad yang disebut-sebut akan bertanding bagi kerusi Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pada pemilihan parti April ini mengalu-alukan keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, Amirudin Shari yang mahu merebut jawatan itu.

Beliau yang juga Adun Seri Setia bagaimanapun masih belum mengesahkan mengenai keputusan untuk bertanding bagi jawatan itu berkata, kesahihan berhubung perkara tersebut hanya akan diumumkan apabila tiba masanya.

“Saya tak boleh kata saya terjejas atau tidak (mengenai perebutan jawatan dengan Amirudin) kerana saya masih belum lagi mengesahkannya (keputusan untuk bertanding). Tunggulah nanti bila masa yang sesuai.

“Baguslah kalau dia (Amirudin) nak bertanding. Dia tu OK, dia pun teman saya. Saya ucapkan dia selamat berjaya,” katanya kepada mStar Online pada Jumaat.

Nik Nazmi berkata, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi maka sesiapa sahaja boleh bertanding dalam jawatan Ketua AMK pada pemilihan parti April ini.

"Sesiapa pun boleh bertanding. Dia pun boleh bertanding," katanya.

Sumber dalaman parti dilaporkan bahawa Nik Nazmi telah menyatakan keputusan beliau untuk bertanding dalam jawatan itu.

Bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada pengumuman rasmi mengenai perkara itu.

Sementara itu, Amirudin yang berhasrat untuk bertanding dalam jawatan Ketua AMK membuat keputusan selepas mendapat sokongan daripada anggota sayap daripada seluruh negara.

Dilaporkan, beliau bagaimanapun mengakui dirinya hanya sebagai calon ‘underdog’ dan tidak sepopular Nik Nazmi selain kurang mendapat liputan media kerana fungsinya dalam parti.

"Ia bukan mengenai persaingan populariti, tetapi bagaimana kita membentuk organisasi pemuda yang kuat dan kukuh.

"Seorang Ketua AMK perlu bekerja mengikut dasar-dasar yang baik dan membangunkan parti, di samping mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi," katanya Amirudin.

Amirudin berkata demikian bagi merujuk Nik Nazmi yang bermula sebagai setiausaha politik Menteri Besar Selangor dan kini sebagai Timbalan Speakear DUN Selangor.

Beliau juga mengakui tidak sepopular beberapa pemimpin tertinggi yang lain dan kurang mendapat publisiti, walaupun ketika protes, demonstrasi jalanan dan majlis politik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain