suria

10 NGO Buat Laporan Polis Kejadian Pijak Bendera Jepun

KUALA LUMPUR: Sepuluh badan bukan kerajaan (NGO) di sini pada Khamis membuat laporan polis berhubung tindakan penyokong pembangkang membakar dan memijak bendera Jepun di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini.

Laporan turut dibuat mengenai kenyataan seorang peguam yang ingkar titah Yang di-pertuan Agong berhubung isu penggunaan kalimah Allah yang semakin menjadi polemik di negara ini.

Antara NGO yang terlibat ialah Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin, Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM) dan Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS).

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) Abdul Rani Kulup Abdullah membidas sikap biadap mereka yang memijak serta membakar bendera Jepun kerana bendera melambangkan maruah sesebuah negara.

Beliau turut mengecam kenyataan seorang peguam, Edmund Bon mengenai isu kalimah Allah yang mengatakan bukan Islam tidak perlu mengikut fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan kerana Malaysia merupakan sebuah negara sekular.

"Pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu mengambil tindakan menangkap dan mendakwa mereka yang biadap ini," kata Abdul Rani kepada pemberita selepas membuat laporan polis pagi Khamis.

Presiden Pertubuhan Minda & Sosial Prihatin Ramesh Rao berkata pihaknya bersedia untuk mendedahkan kertas siasatan kepada pihak polis sekiranya diperlukan berhubung tujuan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan tidak rasmi ke Jepun pada 16 Januari lepas.

Ramesh berkata pihaknya mempunyai bukti lengkap tentang lawatan Anwar ke Jepun itu yang didakwa mempunyai agenda tersembunyi.

"Kita juga harus fikirkan nasib pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap di Jepun...secara tidak langsung (tindakan pijak bendera), boleh menjejaskan sensitiviti masyarakat Jepun terhadap Malaysia," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain