suria

Adun Likas Mohon Maaf Selepas Bertindak Terhadap Laporan Tidak Sah

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Likas (DAP), Junz Wong telah bertindak terhadap dakwaan seorang gadis bahawa dia diserang dan dirompak di pusat beli-belah Suria Sabah di sini pada 6 Januari lalu.

Junz, bagaimanapun mengaku telah terperangkap di tengah-tengah kontroversi apabila menyiarkan kisah gadis berusia 20 tahun itu walaupun tiada laporan polis dibuat dan mengaku telah bertindak ke atas laporan yang tidak sah daripada anggota Pemuda DAP yang merupakan sahabat gadis berkenaan.

"Kami telah melihat rakaman CCTV dan merumuskan bahawa kejadian itu tidak berlaku. Kita 'berhutang' maaf dengan Suria dan orang ramai," katanya kepada pemberita, sambil gadis berkenaan mengakui bahawa dia mencederakan dirinya sendiri.

Gadis itu bagaimanapun tidak mendedahkan motif berbuat demikian.

Dia memberitahu pemberita bahawa dia telah mencederakan dirinya sendiri dan tiada sebarang cubaan rompakan di pusat beli-belah pada hari gambar tersebar.

"Saya telah membuat satu kesilapan besar dan saya memohon maaf kepada Suria Sabah, orang ramai, pihak polis, kepada ibu bapa saya dan semua yang terlibat," katanya.

Katanya, gambar-gambarnya yang mengalami kecederaan telah dimuat naik ke Facebook tanpa pengetahuan atau izinnya.

Memandangkan dakwaan rompakan itu tersebar di media sosial, Junz pada Rabu mencatatkan pada halaman Facebooknya bahawa bapa gadis itu memaklumkan kepadanya bahawa dia bertindak sedemikian kerana mahu mendapatkan perhatian ibu bapanya.

"Saya ingin memohon maaf kepada Suria Sabah dan semua pihak yang berkaitan untuk semua kerosakan reputasi yang dialami dalam kemelut rompakan dramatik yang dikatakan itu dan bahawa tindakan saya telah membantu menambah tekanan kepada Suria yang tidak pernah menjadi niat saya," kata Junz yang menekankan bahawa tindakannya adalah hanya untuk mewujudkan kesedaran.

Difahamkan bahawa polis akan merakamkan semula kenyataan daripada gadis itu memandangkan ia diklasifikasikan sebagai laporan palsu.

Junz juga mungkin perlu memberi kenyataan tambahan kepada polis.

Artikel Lain