suria

TPM: Malaysia Hall Di Jakarta Dilancar, Diharap Bantu Erat Hubungan Dua Negara

JAKARTA: Malaysia Hall di Jakarta yang baru akan menjadi hab untuk mempromosi Malaysia di Indonsia, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Direka sebagai pusat perjumpaan bagi pelajar dan komuniti Malaysia, Muhyiddin berkata, kumpulan seumpama itu mampu merapatkan hubungan antara kedua-dua negara menerusi penggunaan bangunan itu secara efektif.

“Pelajar dan komuniti Malaysia di Jakarta boleh memainkan peranan mereka sebagai ‘duta kecil’ lebih efektif menerusi ‘Malaysia Hall’ ini.

“Ia merupakan simbolik kepada pencapaian negara di Indonesia, dengan demikian ia menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan nama negara tidak tercemar,” katanya ketika berucap sebelum melancarkan bangunan itu di tengah kota Jakarta pada Selasa.

Dengan matlamat untuk membentuk satu komuniti Asean, Muhyiddin turut menggesa para pelajar Malaysia supaya mengambil peluang yang besar itu yang disediakan oleh kedua-dua negara dari segi peluang ekonomi dan pekerjaan.

“Pelajar Malaysia di sini tidak sepatutnya hanya menimba ilmu tetapi turut memulakan jaringan dengan komuniti tempatan dalam pelbagai sektor.

“Para pelajar boleh membantu dalam menjadikan aspirasi komuniti Asean sebagai realiti manakala hubungan antara Malaysia dan Indonesia dieratkan,” katanya.

Muhyiddin turut berharap supaya hubungan rapat antara Malaysia dan Indonesia ini dapat memperluaskan lagi manfaat dalam beberapa bidang, terutama dalam pendidikan dan ekonomi.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Malaysia Hall yang melibatkan peruntukan RM3.79 juta, dapat menampung seramai 6,004 pelajar Malaysia.

“Ia dibina dengan memikirkan kebajikan para pelajar kita.

“Ia telah beroperasi sejak Februari tahun lepas di bawah bidang kuasa kementerian,” katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berada di Jakarta untuk lawatan kerja selama dua hari.

Artikel Sebelum

Artikel Lain