suria

Cubaan Bunuh: Lima Lelaki Dibenar Ikat Jamin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Selayang pada Selasa membenarkan lima lelaki termasuk dua beradik, yang didakwa cuba membunuh seorang lelaki dengan membakarnya menggunakan minyak petrol pada Februari lepas, diikat jamin sementara menunggu perbicaraan kes mereka.

Majistret Maziah Joary Mohd Tajudin membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan peguam Leonard Anselm Gomes, Syahredzan Johan dan Ding Ngik Eng, yang memberi alasan keadaan mangsa semakin pulih dan kini ditempatkan di wad biasa.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya Ridna Abdah Subri memohon mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin atas alasan mangsa masih tidak sedarkan diri dan berada di wad unit rawatan rapi Hospital Sungai Buloh kerana seluruh badannya terbakar.

Mahkamah membenarkan semua tertuduh, yang ditahan di Penjara Sungai Buloh, dibebaskan dengan jaminan masing-masing sebanyak RM13,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Mei untuk sebutan semula kes.

Mohd Nazrul Md Noor, 24, dan adiknya Mohd Nazrin, 22, serta Muhammad Ammar Ashman Jamil, 21, Mohamad Nor Akmal Tarmezi, 22, dan Mohamad Firdaus Mohamad Sururi, 20, didakwa cuba membunuh Muhammad Syahirudin Mohd Shauki, 20, di Jalan Kampung Sepakat, Mukim Sungai Tengi, Gedangsa, Hulu Selangor pada 5.45 pagi, 26 Februari lepas mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mohd Nazrul ialah penganggur, adiknya pekerja sebuah butik kasut dan Mohd Firdaus seorang penghantar surat manakala Muhammad Ammar Ashman serta Mohamad Nor Akmal merupakan pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan. - BERNAMA

Artikel Lain