suria

32,789 Syarikat Gagal Serah Simpan Penyata Tahunan, Kewangan Beraudit 2011

KUALA LUMPUR: Sebanyak 32,789 syarikat telah dikenal pasti masih gagal menyerah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit dalam tempoh yang ditetapkan bagi 2011.

Suruhanraya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataannya pada Isnin berkata jumlah itu adalah berdasarkan kepada rekod serah simpan dokumen yang sama bagi syarikat-syarikat tersebut untuk tempoh dua tahun terakhir.

Menurut seksyen 165 Akta Syarikat 1965, setiap syarikat dan pegawai syarikat, iaitu pengarah dan setiausaha syarikat perlu mempastikan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit syarikat diserah simpan di SSM pada setiap tahun dalam tempoh 30 hari selepas mesyuarat agung tahunan diadakan.

Sehubungan itu, SSM memberi peringatan kepada mana-mana syarikat yang masih gagal mematuhi kehendak undang-undang tersebut untuk mematuhi keperluan serah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan tersebut dengan SSM.

"Bagi mana-mana syarikat yang tidak aktif atau beroperasi, pengarah atau pemegang saham syarikat dinasihatkan mengambil tindakan menggulung syarikat secara sukarela di bawah seksyen 254 AS'65,"katanya.

SSM berkata syarikat terbabit juga boleh memohon pembatalan nama syarikat kepada Pendaftar Syarikat di bawah sekyen 308 Akta yang sama bagi mengelak tindakan undang-undang diambil atas kegagalan menyerah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit pada masa akan datang.

"Pengarah-pengarah syarikat juga dinasihati menghubungi setiausaha syarikat bagi tujuan pematuhan terhadap arahan ini atau hubungi SSM untuk semakan status serah simpan penyata tahunan dan penyata kewangan beraudit syarikat," katanya.

SSM boleh dihubungi di talian 03-2299 5334 (Ibu pejabat) atau hubungi mana-mana pejabat SSM yang berhampiran. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain