suria

Bahagian Umno Melaka Diminta Senarai Sekurang-Kurangnya Tiga Nama

MELAKA: Semua empat bahagian dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka yang akan ditandingi parti Umno diminta menyediakan sekurang-kurangnya tiga nama calon untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) ini.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, senarai nama-nama calon perlu dihantar kepada kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

"Sebagaimana yang diarah oleh pucuk pimpinan parti, senarai nama itu yang berstatus rahsia itu perlu dihantar sebelum 30 April ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Tahunan Cawangan-cawangan Umno Bahagian Bukit Katil di Dewan Tun Ali di sini, Ahad.

Mohd Ali berkata, sehingga kini bahagian Bukit Katil yang diketuainya belum menyerahkan senarai nama calon itu.

Mengenai prestasi calon Umno di kesemua empat kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN pada pilihan raya umum lepas, beliau berkata, mereka "mencapai tahap lulus" dan telah bekerja dengan baik.

"Tiada wakil rakyat Umno di Melaka yang tidak bekerja keras cuma penilaian peratusan ada yang mencapai 50, 60 dan 80 peratus," katanya.

Empat kerusi Parlimen yang dimenangi calon Umno adalah Bukit Katil, Jasin, Masjid Tanah dan Tangga Batu manakala dua lagi ditandingi MCA yang menang di Alor Gajah tetapi tewas di Kota Melaka.

Mohd Ali, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, status quo pembahagian kerusi-kerusi kekal sebagaimana pilihan raya umum ke-12 di Melaka yang mempunyai enam buah kerusi Parlimen dan 28 kerusi DUN.

Bagi kerusi DUN, Umno bertanding di 18 buah DUN, MCA (tujuh), Gerakan dan MIC masing-masing satu kerusi dan PPP yang pertama kali bertanding di DUN Kota Laksamana yang dulunya diwakili MCA yang bersetuju membenarkan PPP bertanding di DUN berkenaan.

BN memenangi 23 kerusi DUN manakala parti pembangkang DAP menang di lima DUN pada pilihan raya umum lepas.

Beliau berkata, terdapat permintaan daripada bahagian untuk bertukar kerusi sesama parti BN dalam bahagian sama iaitu di Jasin untuk MCA bertanding di DUN Rim dan Umno bertanding di DUN Bemban.

"Permintaan yang sama juga berlaku di Asahan yang kini diwakili MIC dan Gadek yang diwakili Umno bagi bahagian Alor Gajah dan ini perlu dipersetujui bersama di peringkat bahagian sebelum diketengahkan ke badan perhubungan negeri untuk kata putus," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain