suria

15 Pelajar Dikejar Ke Hospital Terkena Arus Petir

MELAKA: Seramai 15 pelajar yang sedang mengikuti perkhemahan pengakap di Pangkalan Badak Bukit Katil di sini dikejarkan ke Hospital Melaka selepas dipercayai terkena arus petir petang Ahad.

Kesemua mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St. Francis yang mengikuti perkhemahan bermula Ahad hingga 14 April depan bersama 569 pelajar sekolah seluruh negeri Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang mengesahkan kejadian tersebut berkata, kesemua pelajar itu mengadu sakit badan selepas kejadian panahan petir di kawasan perkhemahan itu kira-kira 5.30 petang itu.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua pelajar berkenaan tidak mengalami kecederaan serius namun dikejarkan ke hospital bagi menerima pemeriksaan lanjut selepas dipercayai terkena arus petir yang mengalir di kawasan berkenaan.

"Kesemua pelajar terbabit nampaknya bersemangat untuk meneruskan perkhemahan," katanya yang melawat mangsa di Hospital Melaka di sini, Ahad.

Katanya, ibu bapa pelajar yang terlibat dalam perkhemahan tersebut dinasihatkan agar tidak berasa bimbang dengan keadaan anak masing-masing kerana perkhemahan itu diselia dan dipantau oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mempunyai pengalaman luas dengan aktiviti seumpama itu. Sementara itu, seorang mangsa, Mohd Syukri Shammuhari, 16, berkata, sebelum kejadian kesemua pelajar sedang mengikuti latihan bagi upacara pembukaan perkhemahan itu pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, kesemua pelajar lari ke khemah masing-masing selepas hujan lebat sebelum berlaku kejadian petir.

"Saya berasa seolah-olah seperti terkena renjatan elektrik di bahagian kaki dan badan," katanya.

Mohd Syukri yang bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan serius berkata, dia akan meneruskan perkhemahan tersebut sehingga hari terakhir. - BERNAMA

Artikel Lain