suria

200 Produk IKS Malaysia Akan Dipasarkan Di Mesir

BUTTERWORTH: Syarikat Al-Araby Holdings (M) Sdn Bhd merancang memasarkan sekurang-kurangnya 200 produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Malaysia di pasaraya milik syarikat itu di Mesir.

Pengerusinya Ahmad Sani Araby Abdul Halim Araby berkata produk yang terpilih dan memenuhi kriteria pasaran di Mesir itu dijangka mula dijual di pasaraya "Seven Days Store&Wholesale" (7Days Store) mulai bulan Jun ini.

"Usaha itu merupakan salah satu cara untuk mempromosi dan memasarkan produk buatan Malaysia ke peringkat antarabangsa serta meningkatkan ekonomi usahawan IKS kita", katanya kepada pemberita di sini Isnin.

Al-Araby Holdings adalah sebuah syarikat Bumiputera yang membuat pelaburan membuka pasaraya di Mesir.

Beliau berkata produk buatan Malaysia mempunyai pasaran di timur tengah kerana ia mementingkan taraf halal serta berkualiti.

Ahmad Sany sebelum itu menganjurkan taklimat khas peluang eksport produk IKS untuk pasaraya syarikat itu yang disertai oleh lebih 70 usahawan di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) di sini.

Katanya pihaknya melabur RM250,000 untuk membuka 7Days Store di tengah bandar Nasr, Mesir dan pasaraya itu kini dalam proses pengubahsuaian akhir.

"Dengan anggaran 89 juta penduduk dan lebih 11,500 pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir, kita percaya produk yang akan dijual di pasaraya itu nanti mampu memenuhi permintaan di sana," katanya.

Selain itu, beliau berkata masyarakat di timur tengah juga mulai mengemari produk Malaysia berdasarkan permintaan terhadap beberapa barangan yang memang dijual di sana.

"Sebagai contoh, beberapa produk seperti kopi segera mula diterima baik di sana kerana penyediaanya yang lebih mudah berbanding kopi mereka yang masih menggunakan proses tradisional," katanya.

Usahawan yang berminat bagi memasarkan produk mereka di pasaraya 7Days Store boleh menghubungi talian bebas tol 1300-88-1818. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain