suria

Kerajaan Laksana Kupon Makanan Selepas Kajian Terperinci Selesai

KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada kerajaan akan melaksanakan sistem kupon makanan hanya akan dibuat selepas kajian terperinci dilakukan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan pelbagai faktor termasuk kaedah bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.

"Adalah tidak dinafikan pelaksanaan kupon makanan merupakan salah satu alternatif kearah membantu golongan berpendapatan rendah di negara ini.

"Melalui perbandingan yang telah dilakukan, didapati kaedah yang dijalankan di negara-negara lain adalah berbeza-beza dan spesifik kepada masalah yang dihadapi mereka pada sesuatu masa tertentu," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.

Beliau menjawab soalan Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) yang ingin mengetahui mengenai sejauh mana kerajaan serius untuk melaksanakan kupon makanan bagi menangani keperitan hidup golongan berpendapatan rendah.

Mengulas lanjut Tan berkata, kerajaan akan mengambil langkah berhati-hati dalam mempertimbangkan pelaksanaan sistem kupon makan di negara ini.

"Walau apa pun mekanisme yang dilaksanakan, kerajaan sedar akan kemungkinan berlakunya ketirisan dalam pelaksanaan kupon makanan dan masalah untuk memastikan bahawa hanya yang benar-benar layak sahaja mendapat faedah," katanya.

Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Dzulkefli mengenai persaingan terhadap peruncit lain apabila kerajaan mewujudkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), Tan berkata ia sebaliknya akan mewujudkan persaingan sihat.

"Tujuan mewujudkan KR1M adalah bagi membantu untuk kurangkan kos hidup. Jadi tuduhan bahawa dengan adanya produk KR1M yang akan diperluaskan ke luar bandar akan membunuh kedai runcit lain adalah tidak tepat.

"Sebaliknya kita juga harapkan agar kedai-kedai runcit seluruh negara ambil kesempatan untuk menjual produk KR1M," katanya.

Artikel Lain