suria

Warga ATM Diingat Sentiasa Bersedia Hadapi Cabaran Masa Depan

KUALA LUMPUR: Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diingatkan supaya tidak leka dengan suasana aman yang dinikmati negara tetapi perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang cabaran mendatang.

Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata sebagai angkatan yang berwibawa, ATM perlu peka dengan perkembangan geostrategik serantau dan global serta mendapat maklumat yang terkini supaya sentiasa di hadapan dalam membuat sebarang keputusan.

"Isu-isu semasa sedia wujud walau sebesar zarah mana sekalipun boleh meledak jika tidak ditangani dengan baik dan sebarang perubahan mahupun perkembangan hendaklah dipantau dengan teliti," katanya semasa berucap pada upacara perbarisan sempena ulang tahun ke-78 penubuhan ATM di Kem Perdana Sungai Besi di sini, Jumaat.

Beliau berkata demi mempertahankan negara dan menjamin kesejahteraan rakyat, ATM akan tetap berdiri teguh di belakang kerajaan dan sentiasa menggembling tenaga bersama agensi-agensi kerajaan dalam usaha menjaga kedaulatan negara.

"Kedaulatan serta keselamatan negara tidak akan sama sekali dikompromi malah ATM akan terus menjadi angkatan yang sentiasa gagah dalam apa jua cabaran dan meningkatkan keupayaan demi merealisasikan pelaksanaan pelan pembangunan stragegik," katanya.

Zulkifeli turut menyeru semua perkhidmatan ATM agar menentukan modal insan, aset dan doktrin berada di tahap pengoperasian yang paling tinggi demi menjamin kemantapan serta keupayaan tempur.

"Pengetahuan mahupun kemahiran setiap anggota dalam bidang masing-masing hendaklah digarap secara sistematik oleh setiap perkhidmatan supaya setiap anggota menjadi aset yang amat berguna.

"Latihan pada peringkat perkhidmatan dan antara perkhidmatan hendaklah dilaksanakan secara konsisten untuk melihat keberkesanan kemahiran individu, kebolehpakaian aset dan doktrin sedia ada," katanya.

Upacara perbarisan yang sepatutnya diadakan pada 16 Sept lepas dilewatkan bagi memberi laluan kepada sambutan Hari Malaysia yang disambut pada tarikh yang sama.

Seramai 38 pegawai dan 688 anggota pelbagai pangkat dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyertai perbarisan kali ini yang bertemakan "Komitmen Anda, Keyakinan Kami."

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Pemangku Panglima Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Panglima Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi. - BERNAMA

Artikel Lain