SETIAP kali musim jerebu melanda negara, sebuah bangunan tergendala di Klang, Selangor pasti menjadi topik perbualan hangat serta bahan jenaka warga maya khususnya penduduk di kawasan sekitar.Malah, segelintir pihak turut berseloroh menggelarnya sebagai 'air purifier' gergasi ekoran reka bentuknya yang begitu mirip dengan mesin penapis udara. Namun di sebalik pelbagai jenaka dan sindiran di media sosial, tidak ramai mengetahui bangunan terbiar itu sebenarnya menyimpan 1001 duka buat segelintir pembeli yang menjadi mangsa projek terbengkalai.Seorang pengguna Threads, Anuradha Jegathesan mendakwa beberapa individu masih menanggung derita berdepan tunggakan pinjaman bank akibat kegagalan projek yang 'tergantung sepi' sejak 2015 itu."Ramai mungkin tak tahu, bangunan ini sebenarnya adalah projek perumahan yang terbengkalai. Sudah lebih 10 tahun, tapi ramai yang masih servicing bank loans untuk rumah yang tak pernah dapat."Projek terbengkalai, pembeli ditinggalkan begitu sahaja tetapi komitmen dengan bank tetap perlu dibayar."Bayangkan, lebih sedekad bayar untuk sesuatu tapi tak pernah merasa atau dapat. Jadi apabila orang tengok dan ketawa sebab nampak macam air purifier, bagi pembeli pula bangunan ini membawa cerita yang sangat berbeza," katanya.Untuk rekod, idea dan konsep asal bangunan ikonik Klang itu direka sebagai ruang perniagaan bersama 377 unit servis pangsapuri yang dinamakan The Boss Service Suites.Pernah dicanang sebagai projek tertinggi di Klang, struktur itu merangkumi empat tingkat ruang perniagaan, 24 tingkat pangsapuri servis, serta dua tingkat tempat letak kereta bawah tanah.Malangnya pada Ogos 2014, pemaju projek berkenaan difahamkan telah melarikan diri ke luar negara, sekali gus meninggalkan status pemilikan bangunan itu sekadar 'hiasan' menyakitkan mata buat penduduk Klang hingga kini.