SIAPA sangka dengan hanya membaca buku, anda boleh mendapat ganjaran wang daripada kerajaan.Itulah inisiatif unik yang kini dinikmati penduduk di negara jiran kita, Singapura. Ia selepas Republik itu melancarkan inisiatif menawarkan ganjaran kewangan kepada rakyatnya yang membaca buku sekurang-kurangnya 15 minit sehari.Langkah ini dilaksanakan bagi menangani peningkatan tabiat ketagihan melihat kandungan negatif di internet, atau lebih dikenali sebagai doomscrolling, di samping meningkatkan tahap tumpuan dan pemikiran kritis dalam kalangan penduduknya.Di bawah skim ini, orang ramai perlu merekodkan 50 sesi bacaan harian di laman web disediakan bagi memperoleh bayaran sebanyak S$1 atau RM3.20.Bagi setiap sesi bacaan selama 15 minit atau lebih, pengguna akan diberikan 20 syiling maya.Untuk mendapat bayaran satu dolar, pengguna diperlukan mengumpul sebanyak 1,000 syiling sementara dengan hanya satu sesi bacaan dibenarkan setiap hari.Ketua Lembaga Perpustakaan Negara Singapura, Melissa Tam berkata, tabiat membaca yang mampan perlu dibina secara berperingkat terutamanya dalam berdepan cabaran ketika dunia kini dilimpahi dengan pelbagai maklumat, kandungan dan stimulasi di internet."Pada bila-bila masa sahaja, kita boleh melihat ratusan tajuk berita, menonton video atau mendapatkan ringkasan tentang hampir apa-apa perkara."Kita tahu bahawa tabiat dibina melalui tindakan kecil yang konsisten. Jadi, kami bermula dengan matlamat mudah iaitu membaca selama 15 minit sehari. Sama ada di dalam bas, sebelum tidur, atau sewaktu makan tengah hari," katanya.Pada masa yang sama, Singapura turut mempertimbangkan langkah mengurangkan kesan negatif media sosial terhadap golongan muda, termasuk menetapkan had masa penggunaan harian.Tindakan kerajaan Singapura menggunakan insentif kewangan untuk mempengaruhi tingkah laku rakyatnya bukanlah sesuatu yang baharu. Sebagai contoh, inisiatif berfokuskan kesihatan sebelum ini pernah menawarkan baucar pasar raya bagi aktiviti berjalan kaki serta pelbagai hadiah untuk mereka yang mencapai sasaran langkah harian.Meskipun wujud kebimbangan mengenai amalan membaca di negara itu, pelajar berusia 15 tahun di Singapura baru-baru ini menduduki tangga teratas dunia dalam kemahiran membaca menerusi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025, menewaskan China dan Taiwan. -Agensi