Ketika jerebu semakin teruk, partikel pencemar di udara berpotensi melekat pada pakaian. -Gambar hiasan AI
KETIKA beberapa kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat, orang ramai bukan sahaja dinasihatkan mengurangkan aktiviti di luar rumah, malah perlu lebih berhati-hati dengan perkara harian yang kelihatan remeh.Antaranya termasuklah menjemur pakaian di kawasan terbuka. Ramai mungkin menganggap pakaian dijemur di bawah sinaran matahari sudah cukup bersih, namun ketika jerebu semakin teruk, partikel pencemar di udara berpotensi melekat pada pakaian yang sedang dikeringkan.Lebih membimbangkan sekiranya pakaian tersebut dipakai oleh kanak-kanak atau bersentuhan secara langsung dengan kulit.Jadi, boleh atau tidak sidai baju dekat luar rumah ketika jerebu?Sebenarnya, jika keadaan jerebu semakin teruk, sebaik-baiknya elakkan menjemur pakaian di luar rumah jika mempunyai pilihan lain.Ini kerana udara yang tercemar mengandungi partikel halus PM2.5 yang boleh melekat pada pakaian yang dijemur di kawasan terbuka.ARTIKEL BERKAITAN: Stres muka ‘breakout’ masa jerebu… Rutin ‘skincare’ dah betul tapi jerawat makin naik!Memetik portal MyHealth KKM, PM2.5 merupakan zarah pencemar udara yang sangat halus dengan diameter 2.5 mikrometer (µm) atau lebih kecil.Menerusi laman sesawang KLE Smart pula, disebabkan saiznya yang amat kecil, partikel berkenaan mudah berada di udara dan berpotensi melekat pada fabrik seperti kapas, linen dan fabrik sintetik.Justeru, pakaian yang dijemur di luar ketika jerebu berpotensi terdedah kepada partikel pencemar tersebut sebelum dipakai.Jika tiada pilihan dan pakaian tetap perlu dijemur di luar, pilih waktu ketika keadaan udara lebih baik serta kawasan yang lebih terlindung daripada pendedahan terus kepada udara luar.Bagaimanapun, sekiranya bacaan IPU melebihi 100, orang ramai disarankan supaya mengelakkan menjemur pakaian di kawasan terbuka sebagai langkah berjaga-jaga.Nampak seperti perkara kecil, namun ketika kualiti udara tidak begitu bagus, setiap langkah yang boleh mengurangkan pendedahan kepada bahan pencemar wajar diberi perhatian.