suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

‘H 1’ dibida pada harga RM10.7 juta, ini evolusi nombor plat termahal di Malaysia

Keunikan abjad dan nombor pada nombor plat kenderaan yang dikeluarkan menjadikan ia diburu oleh ramai pihak.

DUNIA automotif negara baru-baru ini menjadi tumpuan susulan pengenalan siri nombor plat kenderaan khas iaitu 'H' oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pengenalan siri tersebut yang dilancarkan sempena Hari Malaysia melakar sejarah baharu apabila salah satu nombor di bawah siri terbabit, iaitu H 1, dibida pada angka luar biasa mencecah RM10.7 juta. 

Perkembangan ini sekali gus membolehkannya merampas takhta nombor plat termahal di Malaysia, jauh meninggalkan rekod terdahulu yang dipegang oleh FFF 1 pada harga RM1.2 juta. 

Lebih menarik, jumlah kutipan keseluruhan yang direkodkan bagi jualan siri H ini dilaporkan mencecah RM91.21 juta.

Bidaan nombor pendaftaran kenderaan bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. 

Ini kerana pelancaran nombor plet khas ini sering menjadi buruan individu yang mencari keunikan, sama ada daripada segi digit tunggal, pengaruh kepercayaan terhadap nombor tertentu mahupun akronim khusus. 

Sebagai contoh, antara nombor pendaftaran pernah mencuri tumpuan dan dijual pada harga tinggi ialah MCA 1 yang dibida setinggi RM300,100 dan TAN 1 (RM200,000).

Sejarah bidaan nombor pendaftaran kenderaan di Malaysia turut mengalami beberapa transformasi.

Antara membawa kesan signifikan tentunya peralihan daripada sistem manual menggunakan sampul surat fizikal di pejabat JPJ kepada platform digital sepenuhnya menerusi sistem JPJeBid yang diperkenalkan pada April 2019.

Ini kerana peralihan kepada sistem digital ini dipercayai menjadi antara faktor pemangkin kepada peningkatan nilai bidaan nombor plat di Malaysia apabila ia membuka peluang untuk orang awam membida nombor plat secara langsung menerusi aplikasi dan juga portal dalam talian.

Berikut ialah beberapa evolusi penting pemegang rekod nombor plat termahal di Malaysia:

2005 (Era Manual): JJJ 1 — RM215,000

Di bawah sistem bidaan sampul surat fizikal, nombor ini menjadi antara yang termahal pada era 2000-an sebelum trend bidaan mencecah jutaan ringgit bermula.

2012: WWW 1 — RM520,000

Nombor ini mencetuskan fenomena awal bidaan bernilai tinggi apabila dibida oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim, sekali gus memecahkan rekod bidaan tertinggi negara pada waktu itu.

2016: V 1 — RM990,000

Pengenalan siri abjad tunggal Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyaksikan nombor V 1 dibida oleh Sultan Ibrahim pada harga RM990,000, menaikkan tanda aras baharu bagi nilai nombor digit tunggal.

2018: Malaysia 1 — RM1,111,111

Siri khas Hari Kebangsaan ini mencatat sejarah sebagai nombor pendaftaran pertama yang melepasi ambang RM1 juta, dibida oleh syarikat tempatan Aldi International Sdn Bhd.

2023: FF 1 — RM1,200,000

Pelancaran siri FF menerusi sistem JPJeBid mencetuskan gelombang bidaan luar biasa sebelum FF 1 menjadi milik Sultan Ibrahim dengan nilai RM1.2 juta.

2024: GOLD 1 — RM1,500,000

Dikeluarkan sempena sambutan Jubli Emas Hari Wilayah Persekutuan, nombor pendaftaran GOLD 1 dibida pada harga RM1.5 juta oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

2024: FFF 1 — RM1,750,000

Siri peringatan Hari JPJ ke-78 ini menyaksikan FFF 1 memegang rekod termahal negara bagi tempoh seketika selepas dibida pada harga RM1.75 juta oleh Sultan Ibrahim.

2026: H 1 — RM10,777,777

Kemuncak siri khas Hari Malaysia menyaksikan H 1 mencatat rekod mutlak termahal dalam sejarah Malaysia selepas dijual pada nilai RM10.77 juta.

Artikel Lain