suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kalut angkat anak sebab panik, rupanya boleh sebabkan kecederaan serius! Ini 5 perkara ibu bapa perlu buat jika si kecil jatuh katil

Insiden anak kecil terjatuh dari sofa atau katil merupakan antara kecelakaan yang sering terjadi di rumah. -Gambar hiasan AI

KEMALANGAN kecil di rumah yang melibatkan anak, terutama bayi dan kanak-kanak kecil boleh berlaku tanpa dijangka. 

Insiden terjatuh dari katil, sofa atau tempat tinggi misalnya merupakan antara kecelakaan yang sering terjadi.

Dalam situasi tersebut, ibu bapa pastinya diselubungi rasa panik sehingga tanpa sedar bertindak spontan dengan terus mengangkat anak untuk melihat keadaannya.

Ramai tidak tahu, tindakan yang dibuat secara tergesa-gesa boleh menyebabkan kecederaan menjadi lebih serius, terutama jika melibatkan kepala atau tulang belakang.

Berikut merupakan langkah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa sekiranya berdepan insiden sedemikian sebagaimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM): 

1. Bertenang dan periksa keadaan anak terlebih dahulu

Jangan terus menarik atau mengangkat secara kasar, sebaliknya perhatikan dahulu kedudukan anak.

Jika anak terjatuh dalam keadaan terlungkup dan mukanya tertutup bantal, selimut atau mainan, alihkan objek yang menutup muka dengan berhati-hati bagi memastikan saluran pernafasannya tidak terhalang.

2. Periksa jika anak menangis atau beri tindak balas

Tangisan sejurus selepas jatuh boleh menunjukkan anak masih sedar dan memberi respon terhadap kejadian.

Namun, ibu bapa perlu lebih berwaspada sekiranya anak menjadi terlalu senyap, tidak memberi tindak balas, lembik atau tidak sedar. Jika terdapat tanda membimbangkan, anak perlu dibawa ke hospital dengan segera.

Katil bayi perlu dilengkapi ciri keselamatan untuk mengelakkan insiden si kecil terjatuh. -Gambar hiasan AI

3. Periksa benjolan

Selepas memastikan anak sedar dan bernafas, periksa keadaan fizikalnya. Lihat sama ada terdapat benjol, luka, lebam atau pendarahan.

Perhatikan juga sama ada tangan dan kaki anak boleh digerakkan seperti biasa. Jangan mengurut atau menekan bahagian yang bengkak dengan kuat.

4. Angkat dan tenangkan anak dengan lembut

Jika keadaan anak stabil dan tiada tanda kecederaan serius, ibu bapa boleh memeluk serta menenangkan anak secara perlahan.

Paling penting, jangan menggoncang bayi walaupun dengan niat untuk menenangkannya. Goncangan kuat berulang kali boleh menyebabkan pendarahan dan kerosakan otak kerana otak bayi sangat sensitif dan mudah mengalami kecederaan. 

5. Pantau keadaan anak sekurang-kurangnya 24 jam

Jangan menganggap anak sudah selamat hanya kerana dia kembali tenang selepas menangis. KKM menasihatkan supaya kanak-kanak yang terjatuh diperhatikan dengan teliti selama 24 jam bagi melihat sebarang perubahan tingkah laku atau tanda kecederaan kepala. 

Sepanjang tempoh tersebut, ibu bapa perlu memberi perhatian terhadap perubahan seperti anak menjadi terlalu mengantuk, sukar dikejutkan, muntah, tidak aktif seperti biasa atau menunjukkan perubahan tingkah laku.

ARTIKEL BERKAITAN: Usah ambil ringan jika alami kulit kering, insomnia... Pakar O&G kongsi 5 simptom menopaus jarang disedari wanita

Terdapat beberapa tanda selepas anak terjatuh yang memerlukan perhatian perubatan segera. 

Jadi, jangan tunggu atau berlengah jika muncul tanda amaran ini:

1. Muntah berulang

2. Mengantuk melampau atau perubahan tingkah laku

3. Sawan, sukar bernafas atau hilang kesedaran

KKM menyarankan supaya kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda tersebut dibawa ke hospital atau bantuan kecemasan 999 dihubungi dengan segera. 

Artikel Lain