suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ramai ingat boleh sebabkan gastrik, ini penjelasan mengapa paracetamol lebih berkesan jika dimakan ketika perut kosong

Paracetamol sebenarnya selamat diambil sama ada bersama makanan atau ketika perut kosong. -Gambar hiasan

PASTI ramai dalam kalangan kita biasa mendengar larangan mengambil paracetamol ketika waktu perut kosong kerana dibimbangi akan menyebabkan gastrik.

Malah, ada yang sanggup memastikan perut diisi sekurang-kurangnya dengan sekeping biskut atau roti sebelum menelan ubat tahan sakit berkenaan.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, sejauh manakah kebenaran perkara ini?  

Jawapannya mungkin mengejutkan. Faktanya, paracetamol sebenarnya boleh diambil ketika perut kosong.

Menurut penjelasan perubatan, paracetamol selamat diambil sama ada bersama makanan atau ketika perut kosong.

Kepercayaan bahawa paracetamol boleh merosakkan lapisan perut juga tidak disokong oleh kajian farmakologi setakat ini.

Malah, garis panduan rasmi National Health Service (NHS) di United Kingdom menyatakan bahawa tablet dan kapsul paracetamol boleh diambil bersama atau tanpa makanan. 

Ini bermakna, tiada keperluan untuk makan terlebih dahulu sebagai 'pelindung' perut.

Kekeliruan ini mungkin berlaku kerana orang ramai sering menyamakan semua ubat tahan sakit.

Sebenarnya, paracetamol mempunyai mekanisme tindakan yang berbeza daripada ubat seperti ibuprofen dan aspirin.

Ibuprofen dan aspirin merupakan ubat anti-radang bukan steroid (NSAID), yang mana ubat dalam kumpulan ini boleh mengganggu enzim tertentu yang membantu melindungi lapisan perut, sekali gus meningkatkan risiko kerengsaan dan masalah gastrik pada sesetengah individu.

Segelintir individu masih menganggap pengambilan sebarang jenis ubat-ubatan perlu disusuli selepas pengambilan makanan. -Gambar hiasan AI

Sebaliknya, paracetamol pula berfungsi melalui mekanisme yang berbeza dan kebanyakannya diproses oleh hati, bukannya perut.

Satu ulasan keselamatan gastrousus yang diterbitkan dalam jurnal Inflammopharmacology turut melaporkan bahawa paracetamol tidak menyebabkan kerengsaan gastrik seperti yang dikaitkan dengan NSAID.

Satu lagi fakta tidak ramai yang tahu, mengambil paracetamol tanpa makanan mungkin menyebabkan ubat itu diserap sedikit lebih cepat.

Satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal PLOS ONE mendapati makanan, khususnya hidangan yang tinggi kandungan lemak, boleh melambatkan pengosongan perut.

Keadaan ini menyebabkan paracetamol mengambil masa lebih lama untuk sampai ke usus kecil, iaitu tempat utama ubat tersebut diserap.

Jumlah keseluruhan paracetamol yang masuk ke dalam aliran darah bagaimanapun kekal hampir sama, sama ada seseorang itu sudah makan atau belum.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan abai masalah perut buncit! Amaran awal penyakit berkaitan jantung, ambil tahu bahaya lemak viseral di abdomen

Bezanya, ketika perut kosong, ubat berkenaan mungkin sampai ke dalam aliran darah kira-kira 15 hingga 20 minit lebih cepat.

Tapi awas! Paracetamol bukan bermakna bebas diambil sesuka hati.

Walaupun dianggap lebih lembut terhadap perut berbanding sesetengah ubat tahan sakit lain, ia tetap mempunyai risiko jika diambil melebihi dos yang disyorkan.

Pengambilan paracetamol dalam jumlah berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati yang serius.

Risiko ini juga boleh menjadi lebih tinggi bagi individu yang kerap mengambil alkohol atau mempunyai masalah hati sedia ada.

Jadi, perkara paling penting bukanlah memastikan perut sentiasa berisi sebelum mengambil paracetamol.

Sebaliknya, pastikan dos yang diambil mengikut arahan dan jangan mengambil lebih daripada yang diperlukan.

Artikel Lain