suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Jerebu belum surut, ibu hamil kena jaga 3 perkara ini untuk keselamatan diri dan kandungan

Wanita hamil disarankan mengambil langkah lebih berhati-hati ketika musim jerebu untuk mengelakkan sebarang komplikasi. -Gambar hiasan AI

KETIKA jerebu menyelubungi beberapa kawasan di negara ini dengan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencecah tahap tidak sihat, ibu hamil merupakan antara golongan dinasihatkan untuk mengambil langkah lebih berhati-hati. 

Ini kerana udara tercemar bukan sahaja boleh menyebabkan mata pedih, tekak terasa tidak selesa atau batuk, malah mengakibatkan sistem pernafasan terjejas lantaran debu jerebu mengandungi partikel pencemar PM2.5.

PM2.5 merujuk kepada zarah pencemar udara berdiameter 2.5 mikrometer (µm) atau lebih kecil, yang cukup halus untuk memasuki jauh ke dalam sistem pernafasan.

ARTIKEL BERKAITAN: Usah ambil ringan jika alami kulit kering, insomnia... Pakar O&G kongsi 5 simptom menopaus jarang disedari wanita

Disebabkan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meletakkan wanita hamil sebagai antara golongan berisiko tinggi ketika jerebu, bersama kanak-kanak, warga emas dan individu yang mempunyai penyakit kronik tertentu.

Ramai mungkin tertanya-tanya, mengapa kehamilan boleh menjadikan seseorang lebih berisiko ketika kualiti udara merosot?

Rupanya, terdapat beberapa perubahan semula jadi pada tubuh ibu sepanjang kehamilan yang membuatkan sistem pernafasan bekerja dalam keadaan berbeza.

Udara yang tercemar oleh debu jerebu boleh mengakibatkan gejala seperti batuk, pedih mata dan sesak nafas. -Gambar hiasan AI

1. Sistem pernafasan 'bekerja lebih kuat'

Ketika hamil, paras hormon progesteron meningkat dan ia mempengaruhi pusat kawalan pernafasan dengan menjadikan tubuh lebih sensitif.

Akibatnya, jumlah udara yang masuk dan keluar dari paru-paru meningkat bagi memenuhi keperluan badan.

Ia menjadi penyebab mengapa sesetengah wanita hamil mungkin menyedari pernafasan mereka menjadi sedikit lebih laju atau dalam, malah mudah tercungap walaupun melakukan aktiviti ringan.

2. Badan memerlukan lebih banyak oksigen

Sepanjang kehamilan, badan ibu perlu menampung peningkatan keperluan oksigen bagi dirinya dan bayi yang sedang membesar dalam kandungan.

Pada masa sama, rahim yang semakin membesar akan menolak diafragma ke atas dan menyebabkan ruang dalam rongga dada berubah.

Perubahan tersebut boleh menyebabkan ibu, terutama pada trimester ketiga lebih mudah berasa sesak nafas atau tercungap.

3. Hidung dan paru-paru lebih sensitif

Perubahan hormon estrogen ketika hamil juga boleh menyebabkan hidung lebih mudah tersumbat atau berair.

Keadaan ini dikenali sebagai pregnancy rhinitis dan tidak semestinya bermaksud ibu sedang mengalami selesema.

Apabila saluran pernafasan lebih sensitif, pendedahan kepada udara berjerebu pula boleh menyebabkan gejala seperti batuk, hidung berair, sakit tekak dan rasa tidak selesa ketika bernafas menjadi lebih ketara.

Justeru, ketika bacaan IPU meningkat, KKM menasihatkan golongan berisiko tinggi supaya mengurangkan masa berada di luar rumah dan mengehadkan aktiviti fizikal di kawasan yang terdedah kepada jerebu.

Jika perlu keluar, penggunaan pelitup muka N95 boleh membantu menapis zarah halus di udara.

Dalam masa sama, ibu hamil digalakkan memantau bacaan IPU di kawasan masing-masing dan mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas yang teruk, sakit dada atau batuk yang berterusan.

Artikel Lain