suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Usah ambil ringan jika alami kulit kering, insomnia... Pakar O&G kongsi 5 simptom menopaus jarang disedari wanita

Mudah terjaga atau sukar melelapkan mata ketika waktu malam merupakan antara simptom dialami wanita menjelang menopaus. -Gambar hiasan AI

MENOPAUS sering dikaitkan dengan wanita yang mula mengalami perubahan kitaran haid apabila usia semakin meningkat. 

Haid yang datang tidak menentu, semakin jarang sebelum terhenti sepenuhnya sering dianggap sebagai petanda utama seseorang wanita sedang melalui fasa tersebut.

Namun, perubahan hormon ketika menopaus sebenarnya boleh hadir dalam pelbagai bentuk dan tidak semestinya melibatkan kitaran haid sahaja.

Ada beberapa simptom yang mungkin kelihatan seperti masalah kesihatan biasa, malah ada yang dianggap sebagai kesan tekanan atau faktor usia.

ARTIKEL BERKAITAN: Bimbang alami menopaus awal? Ketahui tanda-tanda dan tip gaya hidup sihat menjangkau fasa putus haid

Hakikatnya, perubahan tersebut juga boleh menjadi antara tanda awal menopaus namun kurang diberi perhatian.

Menurut Pakar Obstetrik & Ginekologi, Dr Sharmina Kamal, terdapat beberapa simptom menopaus yang mungkin dialami wanita selain perubahan pada kitaran haid, iaitu: 

1. Sukar tidur atau insomnia

Wanita yang sedang dalam fasa bakal menopaus mungkin mengalami kesukaran untuk melelapkan mata atau mudah terjaga walaupun sudah tidur.

Keadaan ini seterusnya boleh menyebabkan badan berasa letih pada keesokan harinya dan menjejaskan rutin harian.

Kulit gatal tanpa sebab yang jelas juga perlu diberi perhatian jika seseorang wanita menghampiri usia menopaus. -Gambar hiasan AI

2. Brain fog atau mudah lupa

Menurut Dr Sharmina, keadaan yang sering disebut sebagai brain fog ini boleh menyebabkan seseorang wanita mula terlupa beberapa perkara atau sukar mengingati sesuatu seperti kebiasaannya, sama ada ketika sedang berbual atau pun sedang melakukan rutin harian. 

3. Sakit sendi

Rasa sakit atau tidak selesa pada bahagian sendi juga boleh berlaku ketika melalui fasa menopaus. Antara kawasan yang mungkin terjejas termasuk bahagian belakang badan atau bahu.

Simptom ini kadangkala dianggap sebagai masalah biasa akibat faktor usia atau aktiviti harian, menyebabkan kaitannya dengan menopaus kurang disedari.

4. Kulit menjadi kering dan gatal

Perubahan hormon ketika menopaus turut boleh memberi kesan kepada keadaan kulit. Kulit mungkin menjadi lebih kering dan dalam sesetengah keadaan, menyebabkan rasa gatal. Jika perubahan ini berlaku tanpa sebab yang jelas, ia juga boleh menjadi antara simptom yang perlu diberi perhatian.

5. Perubahan mood yang ketara

Perubahan emosi atau labile mood juga antara simptom yang boleh dialami wanita ketika menopaus.

Dr Sharmina menjelaskan, wanita mungkin menjadi lebih mudah tersentuh, menangis atau berasa sedih apabila melihat sesuatu yang menyentuh perasaan.

Perubahan seperti ini kadang kala disalah anggap sebagai perubahan emosi biasa. Namun, apabila ia berlaku bersama beberapa simptom lain, wanita disarankan untuk tidak mengambil ringan bagi memahami punca sebenar.

Kesimpulannya, mengenali simptom-simptom ini lebih awal dapat membantu wanita memahami perubahan yang sedang berlaku pada tubuh mereka dan mendapatkan nasihat perubatan yang sewajarnya.

Artikel Lain