CUBAAN seorang jurutera perisian berusia 31 tahun mereka cerita kononnya dia dan isteri diserang perompak terbongkar apabila jiran mendedahkan pertengkaran mereka yang berlarutan sehingga pukul 4 pagi. Dalam kejadian awal pagi Ahad di Dehugaon, India, Akash Baraskar turut didakwa mengelar leher isterinya, Shubhangi yang berusia 28 tahun di rumah sewa mereka.Ketua Polis Dehu Road, Vikram Bansode berkata, pihaknya menerima maklumat kira-kira pukul 6 pagi mengenai seorang individu diserang di kawasan berkenaan.Setibanya di lokasi kejadian, anggota polis menemukan suspek terbaring di atas tanah."Dia ketika itu memberitahu polis bahawa perompak menyerang dirinya dan isteri, manakala wanita itu masih berada di kediaman sewa mereka di tingkat dua."Polis kemudian menemukan mangsa dalam keadaan cedera parah dan tidak sedarkan diri," katanya.Pasangan itu dibawa ke hospital, namun Shubhangi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.Polis yang pada mulanya menjalankan siasatan berhubung cubaan samun, mula mengesyaki sesuatu selepas penduduk memaklumkan pasangan berkenaan bertengkar sehingga pukul 4 pagi.Malah penduduk setempat turut mendakwa bahawa suspek dan isterinya kerap bertengkar sejak berpindah ke bangunan berkenaan kira-kira lima bulan lalu.Ketika disoal siasat, suspek akhirnya mengaku membunuh isterinya menggunakan senjata tajam sebelum mencederakan diri dan terjun dari balkoni.Suspek kini dirawat di hospital dan berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 103 Bharatiya Nyaya Sanhita (BNS).Untuk rekod, pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga pada 2023. -Agensi