Tangkap layar daripada rakaman CCTV menunjukkan situasi ketika seekor monyet cuba menyerang wanita warga emas.
NASIB malang menimpa seorang wanita warga emas apabila dilaporkan meninggal dunia sehari selepas diserang seekor monyet di kawasan rumahnya sendiri.Mangsa, Najamunnisa Begum, 91, merupakan isteri kepada penulis terkenal, M.S. Savadatti. Menurut laporan portal tempatan pada Isnin, kejadian menyayat hati itu berlaku di kediaman mangsa yang terletak di Koppal, Karnataka, India.Detik cemas insiden berkenaan turut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di bahagian luar rumah tersebut.Mengulas mengenai kejadian, ahli keluarga memberitahu Najamunnisa ketika itu sedang berjalan di kawasan halaman rumah sebelum seekor monyet tiba-tiba menerkamnya sehingga menyebabkan dia terjatuh.Lebih mengejutkan, anak perempuan mangsa yang bergegas keluar untuk membantu turut didakwa diserang haiwan berkenaan.Najamunnisa kemudian dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.Walaupun pada awalnya menunjukkan tanda-tanda semakin pulih, keadaan kesihatannya dilaporkan merosot sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada keesokan harinya. -Agensi