suria

Sorotan 2025: 4 janda ‘meletup’ bertemu jodoh, ramai selebriti tak tunggu lama... Pilih bercinta selepas kahwin

Perkahwinan Erra dan Ezwan serta Fattah dan Amira antara yang menjadi sebutan.

DUNIA hiburan pastinya tidak meriah tanpa kisah cinta dan perkahwinan selebriti tempatan.

Tahun 2025, menyaksikan pelbagai kisah penyatuan dua hati yang meneruskan ikatan ke jinjang pelamin. 

Bukan itu sahaja, ada juga selebriti yang gagal dalam perkahwinan sebelum ini kembali menemui cintanya.

Antara perkahwinan yang menjadi tumpuan pada tahun ini sudah tentu Erra Fazira, Fattah Amin dan Amira Othman, Sabronzo, Syafiq Kyle serta Mimi Lana.

Berikut adalah sorotan mStar 2025 yang menghimpunkan selebriti melangsungkan perkahwinan tahun ini.

Erra dan Ezwan menyulam cinta tak sampai setahun.

1. Erra Fazira dan Ezwan Zain

Hampir setahun mengenali hati budi, pelakon dan penyanyi Erra Fazira akhirnya menamatkan zaman solonya bersama jejaka pilihan hati iaitu usahawan Ezwan Zain pada 12 Disember lalu.

Mereka disatukan di Rinjani Majestic, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, Selangor dan Erra menerima mas kahwin ‘sepohon’ bunga emas berjumlah 24 dinar. 

Erra sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Engku Emran pada 25 Oktober 2007 namun mereka sah berpisah pada 18 Februari 2014. Mereka mempunyai seorang cahaya mata iaitu Engku Aleesya.

Manakala Ezwan atau Mohamad Ezwan Mohamad Zain, 44, dikurniakan seorang cahaya hasil perkahwinan terdahulu yang juga kini berusia 16 tahun.

Majlis pernikahan Fattah dan Amira diserikan dengan telatah Fatima.

 2. Amira Othman dan Fattah Amin 

Pasangan selebriti Fattah Amin dan Amira Othman selamat disatukan pada 14 September lalu selepas lapan bulan kisah percintaan mereka menjadi teka teki orang ramai.

Untuk rekod, Fattah pernah berkahwin dengan aktres Fazura pada 27 November 2017 dan berpisah pada 7 Oktober tahun lalu.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak perempuan berusia empat tahun, Nur Fatima Aisya.

Majlis perkahwinan Mimi dan Syafiq kejutkan peminat.

3. Syafiq Kyle dan Mimi Lana

Selepas melalui pelbagai cabaran hubungan, pasangan selebriti, Syafiq Kyle dan Mimi Lana selamat disatukan di sebuah ruang acara di Taiping, Perak pada 14 Februari lalu.

Mereka dikhabarkan bercinta hampir sembilan tahun malah pernah membatalkan majlis pernikahan mereka seminggu sebelum dijadulkan berlangsung pada 18 Ogos 2023.

Eyka bergelar isteri kepada pemain bola sepak.

4. Eyka Farhana dan Akhyar Rashid 

Pelakon Eyka Farhana selamat menjadi isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan iaitu Akhyar Rashid di  Boathouse by The Lake Ampang, Kuala Lumpur pada 2 Mei 2025 lalu.

Pasangan ini dikhabarkan mengikat tali pertunangan pada 4 Ogos 2023 selepas tiga tahun bercinta.

Perkahwinan Sabronzo dan suami jadi teka teki peminat.

5. Sabronzo (Dolla) dan Ryan Fieret

Anggota kumpulan Dolla iaitu Sabronzo sah bergelar isteri kepada Ryan Fieret pada September lalu dalam sebuah majlis tertutup di Bali, Indonesia. 

Hubungan mereka mula rapat selepas sama-sama terlibat dalam sebuah acara sekitar awal tahun 2024.

Cinta Sufian dan Rania bertaut kembali selepas berpisah.

6. Sufian Suhaimi dan Rania Al Sadat

Penyanyi Sufian Suhaimi selamat bergelar suami kepada Rania Al Sadat  di sebuah majlis tertutup di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang disaksikan oleh keluarga dan kenalan rapat.

Mereka pernah bertunang pada Oktober 2023 dan putus sekitar April 2024, tetapi cinta mereka kembali bertaut pada awal 2025 sebelum mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2025.

Majlis Fikry dan isteri serba tertutup di kampung halaman.

7. Fikry Ibrahim dan Khalizah Alihan

Tiada angin tiada ribut, pelakon Fikry Ibrahim sah bergelar suami kepada wanita pilihannya Khalizah Alihan dalam majlis serba tertutup di Jitra, Kedah pada 12 Febrauri 2025.

Berita pernikahan pasangan ini mengejutkan ramai memandangkan tiada bayangan mereka sedang hangat bercinta.

Sissy pilih doktor sebagai pasangan hidup.

8. Sissy Imann dan Dr Zamir Hilman Hamzah

Memulakan hubungan sebagai doktor dan pesakit, penyanyi Sissy Imann sah bergelar menjadi milik Dr Zamir dengan sekali lafaz di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 12 Disember lalu.

Mengimbas kembali detik perkenalan, kisah cinta pasangan ini bermula secara tidak sengaja apabila Dr. Zamir, 41, merupakan doktor yang merawat Sissy ketika penyanyi itu mendapatkan rawatan pada awal tahun ini.

Beza usia bukan halang cinta Qi dan isteri.

9. Qi Razali dan Wardah

Dalam diam, pelakon Qi Razali selamat bergelar suami kepada wanita iaitu Wardah di sebuah majlis yang diadakan pada 25 Mei 2025 lalu.

Dalam satu temu bual sebelum ini, pelakon filem Babah itu secara terbuka memberitahu dia sudah bergelar tunangan orang namun tidak berkongsi lanjut mengenai tempoh perkenalan mereka.

Jaclyn berkahwin buat kali kedua.

10. Jaclyn Victor dan Calvin T Samuel

Selepas enam tahun hidup menjanda, penyanyi Jaclyn Victor kembali bergelar isteri kepada pensyarah Calvin T Samuel pada 25 Mei 2025 lalu.

Majlis perkahwinan itu dilangsungkan di sebuah dewan diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri keluarga dan rakan terdekat.

Untuk rekod, Jaclyn pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi asal Amerika Syarikat iaitu Shawn Rivera pada Julai 2014, namun bercerai selepas lima tahun berkahwin.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Jonah Joshiah Rivera, 10, dan Molly Marguerite Rivera, 8 tahun.

Aisyah pilih abang ipar Neelofa sebagai pasangan hidup.

 11. Aisyah Aziz dan Dr Mohd Fakhrudin 

Penyanyi Aisyah Aziz selamat disatukan jejaka pilihan hatinya iaitu Dr Mohd Fakhrudin Amir Mohd Ismail di Singapura pada 11 April 2025 lalu.

Malah suami Aisyah merupakan abang kepada seorang pendakwah selebriti yang juga suami kepada pengacara popular namun tidak berkongsi lanjut mengenai detik perkenalan mereka.

Perkenalan singkat Mas Khan dan isteri berakhir ke jinjang pelamin.

12. Mas Khan dan Anatasha Diana 

Membuat keputusan untuk berumah tangga selepas lima bulan perkenalan, pelakon Mas Khan selamat disatukan dengan gadis pilihan hatinya iaitu Anatasha Diana  di sebuah majlis di Gombak, Selangor.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan Julai 2024 dan disatukan pada 25 Mei 2025 lalu.

Saleha pilih pereka fesyen sebagai teman hidup.

13. Siti Saleha dan Joshua Fitton

Selepas tiga tahun bercerai, pelakon Siti Saleha kembali bergelar isteri kepada pereka fesyen iaitu Joshua Fitton pada 15 Februari 2025 di sebuah majlis secara tertutup di Enderong Resort, Janda Baik, Pahang.

Pasangan ini menjalinkan hubungan pada 2022 dan Joshua memperkenalkan diri sebagai tunang Saleha pada November 2024.

Untuk rekod, Saleha pernah mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Lutfi Azhar 28 Julai 2017 namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama empat tahun.

Sakinah berkahwin buat kali ketiga secara tertutup.

14. Sharifah Sakinah dan Cyril Kongo

Dua kali gagal dalam perkahwinan tidak mematahkan semangat Sharifah Sakinah untuk membuka hati buat suaminya Cyril Kongo yang merupakan artis asal Perancis.

Mereka disatukan dalam majlis tertutup pada 14 April lalu selepas empat tahun berkenalan.

Untuk rekod Sakinah pernah mendirikan rumah tangga dengan Aliff Adha pada 2015 namun bercerai pada 2020. 

Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Anais Adha yang kini berusia 8 tahun. 

Sakinah kemudian kembali bertemu jodoh dengan lelaki asal Sweden bernama Michael hansen pada 2021 dan ia juga berkahir dengan perceraian dua tahun kemudian. 

Neera pilih mutawif sebagai suami.

15. Neera Azizi dan Muhammad Hafizi 

Pelakon dan penyampai radio Neera Azizi selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Muhammad Hafizi Mohd Noor, 26, dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung pada 11 Julai 2025 lalu.

Pasangan ini bertunang pada Oktober tahun lalu selepas setahun berkenalan.

Naufal pilih cikgu sebagai pasangan hidup.

16. Naufal Azrin dan Fatin Farhanah

Penyanyi Naufal Azrin sah bergelar suami Fatin Farhana dengan tiga kali lafaz di sebuah majlis yang berlangsung di Kelantan.

Pasangan berkenaan disatukan pada 31 Ogos 2025 selepas tujuh tahun menyulam cinta.

Atiq dan isteri hanya bertunang selama empat bulan.

17. Atiq Azman dan Alia Natasha

Hanya selepas empat bulan mengikat tali pertunangan, pelakon Atiq Azman selamat bergelar suami kepada wanita pilihan hati iaitu Alia Natasha pada 22 Febrauri 2025 lalu.

Mereka disatukan di Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Negeri Sembilan selepas mengikat tali pertunangan pada 26 Oktober 2024.

Shasha kongsi wajah suami di majlis pernikahan.

18. Shasha Abedul dan Adam

Pelakon Shasha Abedul selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihan hatinya dikenali Adam pada 12 Julai 2025 di sebuah acara tertutup yang dihadiri keluarga terdekat.

Pasangan ini mengikat tali pertunangan pada Januari 2025 dan Shasha memilih merahsiakan identiti jejaka pilihan dengan mengaburi wajahnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain