suria

Penganjur janji pulangkan RM425,000, Ariff Bahran malas mengharap

Bahran tidak mengharap kerana sebelum ini sering diberi janji palsu oleh penganjur acara berkenaan.

PENYANYI Ariff Bahran memberitahu penganjur acara yang didakwa menipu wang miliknya serta rakan-rakan lain berjanji akan melunaskan bayaran tertunggak berjumlah RM425,000 pada Jumaat. 

Bahran atau Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 27, bagaimanapun tidak meletakkan harapan tinggi memandangkan janji sama pernah dibuat sebelum ini.

"Kemas kini isu RM425,000. Dia (penganjur acara) kata akan buat bayaran hari ini. 

Perkongsian Bahran di Threads miliknya.

"Tapi tak berharap pun sebab bulan lepas (November) pun cakap nak bayar.

"Setiap bulan dan minggu benda yang sama dia cakap. Tunggu dan lihat saja. Sekali penipu tetap penipu selamanya," ujarnya.

Bahran berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Threads miliknya pada Jumaat. 

ARTIKEL BERKAITAN: Impian nak bawa Sheila On 7 masuk Malaysia musnah, Ariff Bahran tanggung kerugian RM425,000 ditipu penganjur

ARTIKEL BERKAITAN: Duit RM425,000 lesap, Ariff Bahran kuat demi isteri dan tiga anak… “Tetap perjuangkan, dapat atau tidak belakang cerita”

Dalam masa sama, terdapat pengikut yang mencadangkan agar Bahran mendapatkan surat daripada pihak peguam mengatakan individu itu akan membuat bayaran hari ini.  

Namun kata Bahran, individu terbabit seolah-olah tidak ambil peduli tentang perkara itu. 

"Surat peguam daripada pihaknya pun sudah dapat sebelum ini. Dia tak peduli pun tentang semua dokumentasi ini," katanya.

Sebelum ini, Bahran membuat pendedahan mendakwa dia bersama beberapa rakan menjadi mangsa penipuan melibatkan kerugian berjumlah RM425,000 oleh seorang penganjur acara. 

Bahran difahamkan bertindak sebagai penaja selepas penganjur acara itu berjanji membawa masuk kumpulan Indonesia, Sheila On 7 untuk mengadakan konsert kira-kira setahun lalu namun konsert tersebut gagal dilaksanakan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain