PENYANYI Ariff Bahran mendakwa dia bersama beberapa rakan menjadi mangsa penipuan melibatkan kerugian sebanyak RM425,000 oleh seorang penganjur acara.
Ariff atau Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari, 27, berkata penganjur berkenaan sepatutnya membawa kumpulan muzik terkenal Indonesia, Sheila On 7, untuk mengadakan sebuah konsert kira-kira setahun lalu, namun acara tersebut gagal direalisasikan.
“Saya dan rakan-rakan terlibat dalam kes penipuan berjumlah RM425,000. Penganjur acara sepatutnya membawa Sheila On 7 tahun lalu untuk mengadakan sebuah konsert, tetapi akhirnya gagal.

Hasrat Ariff (kanan) untuk menganjurkan konsert Sheila On 7 di Malaysia tidak kesampaian.
“Mereka bersetuju untuk membayar balik, namun sehingga hari ini selepas setahun, wang kami masih belum dipulangkan,” katanya.
Ariff berkongsi perkara tersebut menerusi sebuah video yang dimuat naik di Instagram milik penyanyi rap dan aktivis, Caprice, pada Selasa.
Difahamkan Ariff bersama rakan-rakannya terlibat sebagai salah satu penaja untuk acara berkenaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Industri muzik penuh toksik, berat sebelah... Ariff Bahran dedah punca tak mahu menyanyi lagi
ARTIKEL BERKAITAN: Impian Ariff Bahran tercapai, berjaya miliki Porsche selepas bertahun terlibat pelaburan... Netizen pula kata menunjuk demi marketing
Dalam video berkenaan, Ariff turut meluahkan kesan besar yang dialami rakan-rakannya akibat insiden tersebut.
Menurut Ariff, pendedahan itu dibuat bukan untuk meraih populariti, sebaliknya demi mendapatkan keadilan dan mempercepatkan penyelesaian kes.
“Kalau kau tengah tengok video ini, aku nak kau tahu yang kawan aku baru saja bercerai. Seorang lagi rakan pula keretanya ditarik, dan dia terpaksa menggadai emas.
“Aku sangat berharap kau dapat menyelesaikan perkara ini dan membayar semula wang tersebut supaya aku tak perlu buat satu lagi video untuk mengulas kes ini.
“Tolong aku dan kawan-kawan. Viral bukan untuk glamour, tetapi supaya kes ini menjadi berprofil tinggi dan dapat dipercepatkan. Aku merayu,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


